17 March 2016

NIKAH 7 BULAN BERCERAI, EMMA AKMA HAMPIR BUNUH DIRI



"Sudahlah saya ditinggalkan, dia tidak mahu menceraikan saya pula. Ditambah dengan penyakit busung yang saya terpaksa lalui sebelum ini, saya hampir bunuh diri.

"Mujur saya masih waras dan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Sebagai langkah pertama, saya membuat laporan polis agar tidak diapa-apakan olehnya," ujar pelakon Emma Akma, 47, yang sah bercerai talak satu dengan Omar Ramli, 48, selepas hanya tujuh bulan berkahwin.





Tambah Emma, perceraian itu diputuskan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat pada 14 Januari lalu selepas dia membuat permohonan cerai fasakh pada Ogos 2015.

"Selepas empat kali kes sebutan Omar tidak hadir, pihak Mahkamah memutuskan kami bercerai talak satu secara fasakh.

"Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan menyifatkan perpisahan adalah jalan terbaik buat kedua-dua pihak. Saya juga menganggapnya sebagai rahmat selepas apa yang saya lalui sebelum ini," ujarnya kepada BH Online.



Bercerita lanjut, kata pelakon itu selepas dia bernikah, dia terus ditinggalkan oleh suaminya. Namun apabila dipujuk olehnya, suami Emma hanya pulang seketika sahaja.

"Saya mendapat tahu, rupa-rupanya ada sebab dia ingin berkahwin dengan saya, iaitu untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anaknya semula. Terduduk saya apabila diperlakukan sebegitu," dakwanya.

Untuk makluman, Emma dan Omar mendirikan rumah tangga pada 9 Jun tahun lalu selepas dirancang oleh anak angkatnya, Dayang Izzati, 11. Dayang ialah anak Omar hasil perkahwinannya yang terdahulu. Bagaimanapun, Emma menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak angkatnya sejak usianya setahun.

Ditanya adakah dirinya serik untuk mendirikan rumah tangga lagi, kata Emma: "Kalau saya ditakdirkan untuk berkahwin lagi, apa salahnya? Cuma saya berharap lelaki yang hadir dalam hidup saya itu adalah lebih baik dan bertanggungjawab."





         ________________________





No comments: