26 April 2016

FOKUS PADA FAMILI - DIANA AMIR TAK KISAH 'HILANG' DARIPADA DUNIA SENI



"Walaupun saya sudah tidak aktif sebagai pelakon tetapi saya masih dikenali sebagai hos-hos program keagamaan atau kerohanian,” ujar Diana Amir, 29, atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim.

Tambahnya, dia tidak pernah merasa kesal kerana kurang aktif sebagai seorang pelakon, kerana dia menganggap semua itu punya hikmah tersendiri sejak bergelar isteri dan seorang ibu.

"Terpulang kepada peminat-peminat saya sendiri, mereka punya pandangan dan hak masing-masing.





"Rezeki di mana-mana, bahkan sehingga kini apa sahaja aktiviti yang melibatkan saya, masih ramai yang menyokong di belakang," katanya.

Mengenai soalan apakah benar dia kini benar-benar mahu meninggalkan terus bidang seni, ini jawapan Diana: "Saya sedar tanggungjawab sebagai isteri dan ibu amat besar. Apa sahaja saya lakukan perlu mendapat persetujuan suami (Mohd Habibbullah A Rahman) dahulu.

"Walaupun dia tidak pernah menghalang tetapi sebagai isteri saya tahu batas-batasnya.

"Lagipun anak dalam proses pembesaran, saya mahu melihat dia membesar di depan mata," jawabnya terus-terang.



Bagaimanapun, dia yang ditemui media di majlis doa selamat sempena pembukaan kelas usrahnya bertempat di Petaling Jaya Convention Centre (PJCC), memberitahu, impiannya untuk membuka kelas usrah akhirnya tercapai setelah mengimpikannya sekian lama.

"Sebelum ini, saya sering mengikuti kelas usrah bersama rakan-rakan lain. Ketika itulah saya terfikir mengapa tidak saya sendiri membuka sebuah kelas usrah.

"Apabila saya suarakan perkara ini kepada suami, alhamdulillah, dia turut menyokongnya.



"Malah, dia banyak membantu merealisasikan kelas usrah ini,” ujarnya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

"Saya harap dengan kelas percuma ini, lebih ramai orang akan menyertai saya dan mendapat manfaat,” katanya lagi.

Antara ustaz terlibat bagi kelas usrah ini adalah Ustaz Hafiz Mansor, Ustaz Hafizullah Abdul Aziz, Ustaz Zul Ramli Razali, Ustaz Fahmi dan Ustaz Hosnee.

Bagi yang berminat untuk mengikuti kelas usrah ini, anda boleh berhubung melalui emel iaitu daemovement@gmail.com.




Foto: Diana IG


         ________________________





No comments: