Usia kandungan yang bakal memasuki 8 bulan, Yana Samsudin memberitahu yang dia menyerahkan kepada suaminya, Fadzil Zahari untuk memilih nama untuk anak mereka yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.
Dalam masa yang sama, Yana berkata yang dia dan suami masing-masing sudah tidak sabar menantikan detik indah itu nanti.
"Dua minggu lagi usia kandungan akan masuk lapan bulan dan jika mengikut kiraan, saya dijangka bersalin pada 26 Julai depan. Maknanya, selepas dua minggu raya.
"Jantina anak pula saya dan suami sendiri pun tak pasti lagi, sebabnya bila kami pergi buat pemeriksaan susulan, setiap kali itulah bayi ini meniarap. Jadi kami tak dapatlah nak melihat jantinanya sama ada lelaki ataupun perempuan.
"Tentang nama anak saya akan serahkan kepada suami untuk memikirkannya yang penting tidak panjang dan pelik," ujarnya yang sudah tidak sabar mahu mengetahui jantina anaknya itu.
Sementara itu, suami Yana pula berkata, tatkala mendengar khabar isterinya hamil dia sudah pun berasa agak sedikit cemas. Pun begitu, di sebalik perasaan itu tersimpan satu perasaan teruja untuk bergelar bapa.
"Perasaan mula-mula adalah cemas juga namun saya memang sudah bersedia untuk bergelar seorang bapa insya-Allah, masing-masing pun dah biasa tidur lambat jadi tak ada masalah untuk berjaga malam dan buat susu untuk anak.
"Jadi saya akan belajar bancuh susu dari sekarang, lagipun Yana dah berkorban kandungkan anak saya selama sembilan bulan, jadi inilah masa saya untuk balas jasanya dengan menjaga anak kami. Insya-Allah saya akan berikan nama anak kami yang terbaik dan tidak susah untuk disebut," katanya.
Sumber: Media Hiburan
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment