"Keseluruhannya, program ini dijalankan selama 47 hari dan syukur kerana kami berjaya mencapai jumlah kutipan yang disasarkan iaitu RM200,000.
"Jumlah ini pasti bertambah kerana tiket untuk sumbangan masih dibeli penyumbang biarpun program sudah berakhir.
"Paling menggembirakan, saya terbabit dari awal hingga akhir program dan kejayaan ini banyak dibantu oleh presiden dan tenaga kerja Bikers United Club (BUC)," kata Awie, 48, yang melahirkan perasaan gembiranya apabila program Bikers United Club yang berakhir Ahad lalu berjaya mencapai sasaran yang diletakkan.
Pemilihannya bersama Erra Fazira sebagai duta program amal Bikers Unite For Charity (BUC) bertujuan mengutip derma untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan dianggap penghormatan besar.
Kejayaan program ini terbukti apabila kesungguhan Awie menyertai konvoi 70 kelab motosikal berkuasa tinggi ke seluruh negara.
Awie bahkan turut menggunakan kesempatan beraksi bersama Wings di Golok, Thailand sempena Sungai Golok Bike Week pada 14 Mei lalu bagi mempromosi program itu.
"Saya hebahkan program ini kepada peminat di sana dan ternyata mereka juga berminat menderma kerana tujuannya sangat mulia.
"Pengalaman saya bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Golok juga mencabar kerana terpaksa menempuh hujan lebat. Ini cabaran yang perlu saya lalui untuk buat kerja kebajikan.
"Biasanya masa perjalanan hanya enam jam, tapi kali ini kami bertolak jam 4 petang tapi hanya tiba di sana jam 2 pagi.
"Pembabitan saya dan Erra sebagai duta program ini tidak dibayar kerana kami memang berniat nak buat kerja kebajikan," ujarnya dipetik sebagai berkata.
Dalam masa sama, Awie turut melahirkan rasa teruja untuk terus terbabit dengan aktiviti BUC dan tidak mahu ia terhenti setakat ini.
"Saya boleh kata program amal ini boleh dijadikan acara tahunan. Selain itu, selepas ini penganjur boleh buat program sukan membabitkan 70 kelab motosikal berkuasa tinggi ini. Kita sudah ada data setiap ahli yang boleh diguna pakai nanti.
"Mungkin juga pada Ramadan ini, kita boleh adakan program bersahur dengan anak yatim dan mereka yang memerlukan. Insya-Allah kerja amal ini takkan terhenti setakat ini," katanya.
Pada majlis penutup program ini yang berlangsung di Restoran Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini, BUC turut menghulurkan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Ulin Nuha, Rumah Anak Yatim Saidatul Khadijah, Rumah Jagaan Orang Tua Ampang, Pusat Jagaan Al Fiqrah dan Agathian Shelter Pertubuhan Kebajikan Agathians Malaysia.
Program ini turut dijayakan barisan selebriti popular lain iaitu Fauziah Latiff, Jehan Miskin, Dira Abu Zahar dan Siti Elizad.
Sumber: Harian Metro
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment