28 May 2016

MASUK UM - NOURUL BANGGA, YAKIN ANAK PANDAI JAGA DIRI



"Saya tidak mahu cakap besar, malah sentiasa risau setiap kali membaca mengenai masalah sosial remaja. Sebagai ibu, saya hanya mendoakan yang terbaik. Insya-Allah, perkara itu dapat dielakkan kerana Ayu mempunyai pendirian dan tidak mudah terpengaruh.

"Saya percaya, Ayu mampu melalui sebarang cabaran dan pada masa sama, menyelesaikan setiap masalah dengan baik mengikut caranya sendiri," demikian keyakinan penyanyi Nourul Wahab Depp yang rasa bangga apabila anak sulungnya, Ayu Nazirah, 18, terpilih untuk mengikuti pengajian asas dalam bidang Sains Hayat di Universiti Malaya (UM).

Tambahnya, gejala sosial yang sering berlaku kepada kebanyakan remaja, memang menyeramkan dirinya sebagai ibu, namun dia lebih mengenali anaknya. Malah dia yakin Ayu mampu menjaga diri dengan baik.





Apa yang membuat dia bertambah bangga, Ayu adalah antara pelajar yang sering diberi perhatian oleh universiti berkenaan sejak anaknya cemerlang dalam peperiksaan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lagi.

"Ibu mana yang tidak berbangga melihat satu demi satu pencapaian anaknya. Bermula UPSR, seterusnya Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan sekali lagi mencatat kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 9A, saya bersyukur apabila Ayu kini melangkah pula ke universiti.





"Ayu begitu gembira ketika menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran pada 16 Mei lalu. Secara peribadi, saya terharu apabila dimaklumkan, UM sentiasa mengikuti perkembangan pelajaran Ayu malah berminat menawarkannya melanjutkan pengajian di universiti itu.

"Alhamdulillah, walaupun hasrat Ayu untuk menyambung pengajian di Jepun tidak tercapai, menyertai UM antara pencapaian yang cukup membanggakan," ujarnya dipetik sebagai berkata melalui BH.

Untuk info, Ayu adalah anak hasil perkongsian hidup Nourul dengan bekas suaminya iaitu Ajai. Selepas berpisah dengan Ajai, Nurul bertemu jodoh pula dengan Eric Daniel Depp, 50.

Tahniah diucapkan buat Nourul dan Ajai!


Sumber: BH - Foto: Nourul IG



         ________________________





No comments: