"Keadaan bapa sangat lemah sejak beberapa hari ini dan malam tadi kami terpaksa memanggil doktor ke rumah untuk merawat, tetapi doktor meminta bapa di rujuk terus ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan pakar.
"Memang doktor mengesahkan bapa mengidap Pneumonia atau jangkitan kuman pada paru-parunya yang menyebabkan dia sangat lemah dan tidak bermaya," demikian kata Norassikin mengenai keadaan bapanya, Tamam Idris.
Tamam atau nama sebenarnya Bustamam Idris, 77, telah dikejarkan ke bilik kecemasan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), jam 12 tengah hari semalam akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.
Untuk info, Tamam atau mesra disapa Pak Tamam yang terkenal dengan drama 'Seorang Tua Di Kaki Gunung' dan drama persilatan sejak era 80-an mengalami kesusutan fizikalnya sejak awal tahun ini akibat hilang selera makan.
"Sebenarnya sejak kami sekeluarga pulang membawa bapa mengejarkan umrah pada 2012, dia seperti hilang selera makan tetapi masih bertenaga dan mampu lagi berlakon untuk dua drama iaitu Beret Hijau dan Renungan Ajal, itupun atau permintaan suami (Den Wahab) yang mahu dia terbabit sama dalam drama produksi kami.
"Namun sejak awal tahun ini dia menunjukkan perubahan yang ketara apabila semakin lemah, lesu dan berat badannya turun mendadak kerana hilang selera makan. Mungkin kerana terlalu lemah itu juga menyebabkan paru-parunya mudah dijangkiti kuman.
"Cuma permintaan bapa mengharapkan sahabat seangkatannya atau masyarakat yang mengenalinya dapat mendoakan kesihatannya pulih seperti sedia-kala," tambah Norassikin lagi.
Sepanjang karier bapanya, Tamam pernah menerima Anugerah Khas, Pelakon Veteran Lelaki, Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM), Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Seri Angkasa dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin Ke-8 (2006).
Sumber: BH
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment