30 May 2016

YAZIT VS SEARCH - APAKAH SEJARAH 'BUBAR' AKAN BERULANG?



Kita semua tahu apa yang berlaku terhadap kumpulan Search yang dilanda masalah apabila Yazit dan ahli Search yang lain terutamanya Amy bertelingkah gara-gara masalah kewangan yang didakwa diseleweng.

Sehubungan itu, timbul pelbagai dakwaan antara mereka antaranya Amy mengaku punyai wang banyak dan tidak mungkin mengabaikan Yazit. Manakala Yazit pula menuduh dimaki 'tua sakit nak mampus' dan mendakwa Amy hanya berpura-pura melawat dan bergambar bersamanya ketika dia tidak sedarkan diri di hospital.

"Dia (Awie) sudah lama tengok saya begini, hanya berdiam diri saja. Dia sudah nampak satu perkara seperti saya dibuli," ujar Yazit.





Terdahulu, Amy pula merasa kecewa dengan campur tangan Awie tetapi tidak salahkan penyanyi itu kerana Awie mungkin dengar daripada sebelah pihak sahaja apabila menuduh Amy sebagai pemilik sekolah tahfiz tetapi mengabaikan Yazit.

Melihat pelbagai kemelut yang melanda kumpulan itu, mungkinkah sejarah 16 Januari 2001 akan berulang kembali apabila Search dibubarkan?

Ini kerana, ketika itu Search akhirnya terpaksa dibubarkan semperna pelancaran album terakhir mereka 'Rockestra', di Emporiem Grand Cafe, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.



Sebagai simbolik, tiga daripada lima anggota Search yang hadir iaitu Amy, Yazit dan Nasir Daud memasukkan koleksi album Search sejak dulu hingga yang terbaru ke dalam peti besi dan merantainya. Peti itu kemudiannya diserahkan kepada anak-anak Search untuk simpanan mereka dan hanya boleh dibuka sekiranya mereka berminat meneruskan perjuangan kumpulan itu.

Sememangnya, jika diimbas kembali, perjuangan Search yang bermula melalui album pertama Cinta Buatan Malaysia pada tahun 1984 menjadi gerbang kebangkitan kepada evolusi rock Melayu di Malaysia. Biarpun pada awalnya ia di lihat sebagai sebuah hasil yang memplagiat imej dan muzik Barat tetapi hakikatnya ketika itu mereka adalah wira yang berani berjuang dengan muzik rock.

Lagu 'Kejora' membuktikan kehebatan Search. Peminat muzik mula membuka mata dengan hasil Search walaupun album berkenaan turut mempunyai beberapa lagu yang disadur ataupun dikenali sebagai cover version.



Seterusnya, peminat mula menghafal lagu seperti 'Cinta Sepi', 'Jiwa Jiwa Luka', 'Sireh Gambir', 'Balada Pemuzik Jalanan' dan 'Isi atau Kulit'.  Search memang hebat ketika itu kerana saingan mereka bukanlah kumpulan rock tempatan, sebaliknya mereka berjaya mencuri peminat yang ketika itu ketagihan dengan muzik barat seperti Micheal Shanker Group, Dokken, Iron Maiden, Metallica, Dio atau Deep Purple.

Search kemudian menggandakan usaha lalu tampil dengan album kedua Langit dan Bumi dengan lagu hit seperti 'Meniti Titian Usang' dan 'Rozana' sebelum terbit dengan album terbaik mereka Mentari Merah Di Ufuk Timur. Siapa yang boleh melupakan lagu 'Fantasia Bulan Madu'? Ia ibarat anthem untuk Search.

Kehandalan Search bukan kepalang apabila tampil dengan sebuah lagi album hit Fenomena dengan lagu hit 'Isabella'. Album seterusnya ialah Karisma, Rampage, Gema Di Timur Jauh dan Rock N Roll Pie.





Transisi Search bermula apabila Amy meninggalkan kumpulan berkenaan selepas Rock N Roll Pie. Namun hayat kumpulan itu masih panjang, lalu tempat Amy diambil alih sementara oleh Awie lalu Search dan Awie tampil dengan album Bikin Wilayah dengan lagu yang begitu hebat 'Nur Nilam Sari'.

Transisi kedua berlaku apabila gitaris pasangan adik beradik Search, Kid dan Nordin meninggalkan kumpulan berkenaan dan Awie meneruskan haluan solonya dalam seni. Ketika itu hanya tinggal pemain dram, Yazit sebagai orang lama dan dia memang tidak kenal erti kalah. Dia mahu Search terus berjalan lalu berjaya mencari vokalis baru, Ismail atau lebih dikenali sebagai Moq serta gitaris baru.



Ringkasnya itulah sejarah Search, kerana Search bukan hanya sebuah kumpulan rock, mereka adalah lagenda! Kini Search bertelagah lagi.

Sukar untuk mengggambarkan kehilangan Search dalam dunia seni kerana sejak berpuluh tahun lalu nama mereka begitu kukuh tetapi sudah fitrah dunia sesuatu yang bermula akan berakhir, cuma sayang sekali,,, mereka tidak nampak keperluan bersatu demi perjuangan.


APA KATA SEARCH KETIKA PEMBUBARAN PADA TAHUN 2001?

AMY
"Hidup saya sebenarnya banyak dihabiskan dengan Search berbanding kehidupan berumahtangga. Dalam hal ini, saya harap anggota Search yang lain dapat menerima pembubaran ini.

"Apa yang menyedihkan, Din dan Hillary tidak hadir untuk menyaksikan saat bersejarah ini. Alasan yang mereka berikan tetap saya terima kerana masing-masing mempunyai masalah yang tersendiri."


YAZIT
"Search bagi saya adalah satu harta yang tidak ternilai. Oleh itu, ia akan saya simpan untuk generasi akan datang sekiranya mereka mahu menghidupkannya kembali.

"Ini kerana Search buat masa sekarang adalah gabungan saya, Nasir Daud, Amy, Kid, Din, Hillary dan Man Kidal. Mereka ikhlasnya mempunyai bakat yang tersendiri dan sukar dicari ganti.

"Sebab itulah saya tidak mahu menggunakan nama Search apabila mereka ini tiada. Bagi saya, tak guna mempertahankan kumpulan ini jika tak cukup ahlinya.

Meskipun tidak bersama Search lagi, namun saya akan tetap berkarya. Rasanya, pengalaman selama 15 tahun bersama Search tidak akan mudah luput dari ingatan ini."


NASIR DAUD
"Mengenai pembubaran ini, ikhlasnya saya tidak tahu apa sebabnya dan apakah alasan kukuh terjadi begitu. Sebab secara peribadinya, Search masih boleh terus berkarya sekiranya kita bersungguh-sungguh.

"Kalau nak dibandingkan, ada kalangan wartawan di sini yang bekerja sejak Search belum wujud lagi. Kini, mereka melihat pula pembubaran Search dan persoalannya... wajarkah ia berlaku?

"Bagaimanapun, takdir tiada siapa yang mampu mengubahnya sekiranya tiada persefahaman. Dalam hal ini, saya menerima hakikat ini dengan hati terbuka." - (myartis.com)



         ________________________





No comments: