28 June 2016

DEMI ISTERI - ZAIBO JADI 'SURI RUMAH' SEPENUH MASA



Bagi memberi peluang kepada isterinya, Siti Hawa untuk berkhidmat sebagai sukarelawan dengan sebuah agensi kerajaan, pelakon veteran Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abd Hamid, 60, rela mengalas tanggungjawab sebagai 'suri rumah' sejak lapan bulan lalu.

Kata Zaibo, dia berkorban menjaga lima anak tiri yang masih bersekolah berikutan isterinya sering diminta untuk terlibat menyertai misi bantuan dalam dan luar negara.

"Sejak lapan bulan yang lalu saya menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga anak-anak kerana saya beri peluang kepada isteri untuk melakukan perkara yang dia suka.





"Dia dipilih untuk menjadi sukarelawan sebuah kementerian bagi menyertai misi-misi tertentu. Pada awalnya dia berat hati juga untuk terima, namun saya galakkan dia pergi dan saya bersedia mengambil alih tugasnya menjaga anak-anak," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Zaibo yang kini menetap di Rengit, Batu Pahat, Johor selepas berkahwin dengan ibu tunggal beranak sembilan itu pada 3 Disember 2010 berkata, dia tidak berasa malu digelar suri rumah, malah menghargai setiap detik membesarkan lima orang anaknya itu.

"Saya tahu mungkin akan ada rakan artis yang pandang serong kepada saya, tapi saya tidak peduli janji saya bahagia dengan apa yang saya lakukan sekarang.


--- IKLAN ---



"Saya bersyukur dan menganggap ia merupakan peluang yang Allah bagi untuk merasai tanggungjawab sebagai bapa kepada lima orang anak dan saya melakukannya dengan cara saya sendiri," jelasnya.

Sementara itu, mengenai hubungannya dengan sembilan anak tiri, Zaibo berkata, empat daripadanya sudah dewasa dan tinggal di Kuala Lumpur. Manakala, lima orang yang masih bersekolah sudah menerima dirinya seperti ayah mereka sebenar.

"Sekarang memang hubungan saya dengan lima orang anak ini sangat rapat, tidur pun mahu sekatil semuanya. Malah anak yang kecil itu sentiasa bertanya saya jika dia ingin menukar nama bapanya kepada nama saya bila sudah dewasa," katanya.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: