"Ada sebab saya menafikan perkahwinan itu, bukan suka-suka mahu menipu. Maafkan saya jika ada pihak yang terasa.
"Saya tiada niat mahu melukakan hati mana-mana pihak, apatah lagi pada Ramadan yang mulia ini, tidak mungkin saya mahu bersikap buruk," demikian kata Zainol Macwilson yang memohon maaf kepada semua pihak atas kenyataan palsu berhubung status pernikahannya pada 19 Jun lalu di Kangar, Perlis.
Kata Zainol, dia menafikan cerita perkahwinannya dengan isteri baharu itu kerana beberapa sebab tertentu yang tidak dapat didedahkan.
-- IKLAN --
Sebelum ini hangat diperkatakan mengenai satu gambar yang tersebar di laman maya di mana Zainol atau nama sebenarnya Zainol Mohd Johari Macwilson, 57, seperti baru saja menjalani majlis pernikahan buat kali kedua dengan seorang wanita yang tidak dikenali.
Zainol bagaimanapun telah menafikan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa gambar tersebut adalah salah satu babak dalam 'Dia Semanis Honey' edisi raya.
Namun penipuan Zainol terbongkar apabila pengarah terbabit menafikan ada babak tersebut dan juga bekas suami kepada wanita yang dinikahi itu tampil mengesahkan perkahwinan Zainol dengan bekas isteri itu.
Pernikahan berkenaan dikatakan berlangsung tanpa diketahui anaknya yang juga seorang pelakon, Zahirah Macwilson, mahupun keluarga Zainol atas permintaan anggota keluarga isteri baharu aktor terbabit.
Terdahulu, Zainol pernah dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang ustazah sehingga mengakibatkan perceraian dengan bekas isterinya, Maslinda Yusof, 42, pada 9 November lalu.
Ketika ditanya mengenai identiti wanita dikahwininya, Zainol berkata bahawa isteri baharunya bukanlah ustazah yang pernah menjadi kontroversi itu.
"Eh, dia bukan ustazah itu. Isteri saya seorang pendidik dan saya mengenalinya sejak kecil lagi. Dia orang kampung saya di Perlis dan 20 tahun lebih muda.
"Saya harap, dengan penjelasan ini, tiada lagi isu yang berbangkit. Lagipun, tidak salah jika saya mahu berkahwin lagi memandangkan saya sudah solo," jelasnya.
Menerusi perkahwinannya selama 22 tahun dengan Maslinda sebelum ini, Zainol dikurniakan empat anak termasuk Zahirah.
Sumber: Berita Harian
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment