04 July 2016

MASIH DISAYANGI RAMAI - AMENG RASA SEBAK



Vokalis kumpulan Spring, Ameng berasa sebak apabila ada yang masih mahu menerima kehadirannya semula dan menyayanginya walaupun dirinya itu merupakan bekas pesalah yang sudah menerima hukuman.

"Apabila melangkah keluar (penjara), saya tengok ramai yang menunggu saya termasuklah isteri dan anak. Rakan-rakan media pun yang menunggu berpuluh-puluh orang ramainya di luar penjara tersebut.

"Saya sebak, pesalah seperti saya masih diberikan liputan begitu sekali. Seolah-olah saya menang anugerah! Padahal saya keluar penjara. Saya sedar, ini semua merupakan kasih sayang mereka terhadap saya.





"Ini merupakan masa untuk saya menebus kembali semua kesalahan dan kesilapan. Saya mensia-sia masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Hal-hal beginilah yang membuatkan saya mahu segera bangkit seperti dahulu.

"Saya anggap yang terjadi merupakan pengajaran terbesar dalam hidup. Pastinya saya mahu menebus setiap kesilapan dan membalas kasih sayang yang diberikan semua pihak kepada saya selama ini," ujar Ameng yang dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor 14 Jun lalu.

Pemilik nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, 48, itu mengakui dirinya itu sudah insaf dan mahu meninggalkan dunia hitam tersebut. Kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Sampai Hati' ini, dia mula insaf sebaik sahaja ditangkap polis ketika itu.



Bagaimanpun, Ameng berkata yang paling membuat dirinya begitu kesal apabila isterinya, Sabariah Zakaria, 46, dan anaknya, Wan Ammar Haikal yang ketika itu berusia tiga tahun turut diheret sama dalam kes dadah tersebut.

"Waktu di dalam balai polis lagi hati saya terusik. Yang terlibat dalam dadah saya tapi isteri dan anak pun direman sama memandangkan ketika serbuan mereka ada bersama-sama saya.

"Saya insaf dan sedih! Tak sepatutnya saya melibatkan mereka dalam hal ini. Ketika itu polis suruh saudara-mara ambil anak saya cepat, kalau tidak mereka akan serahkan kepada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sementara kami suami isteri direman," jelas Ameng yang turut mempunyai dua anak perempuan lain daripada perkahwinan terdahulu.



Dalam masa sama, Ameng bersyukur kerana diberikan sokongan moral dan diterima oleh seisi masyarakat sebaik sahaja dibebaskan walaupun ada yang beranggapan pesalah sepertinya tetap akan kembali ke penjara pada masa depan dan tidak memberikan sokongan moral kepada golongan ini termasuklah ahli keluarga sendiri.

"Tapi dugaan untuk orang seperti saya juga cukup kuat. Sebaik sahaja dibebaskan sudah ada beberapa rakan lama yang menghubungi untuk menarik semula saya ke lembah hitam tersebut. Ada rakan sekampung dan ada juga rakan artis yang begitu.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana mereka boleh dapatkan nombor telefon saya serta menawarkan beberapa hal yang mengejutkan. Tak mengapalah, saya sudah serik! Saya juga sudah boleh tinggalkan dunia penagihan," katanya.



Enggan lagi mengulangi kisah beraya di penjara seperti yang pernah dilaluinya itu, Ameng menggangap detik menyambut Ramadan dan meraikan Syawal bersama-sama anak dan isteri merupakan kenangan paling indah baginya.

Ini kerana kata Ameng, ketika di penjara, dia hanya dapat menikmati menu yang sama, tawar dan berulang-ulang setiap hari. Apabila menjelang Aidilfitri barulah dirinya itu berpeluang merasai makanan enak yang dibawa keluarga dalam sesi lawatan.

Ketika itu ingatan Ameng terhadap anak dan keluarga mula menerjah masuk. Air mata mula mengalir saat merayakan lebaran tanpa mereka di sisi.

"Cukuplah pengalaman berpuasa dan beraya di penjara. Sesiapa pun yang pernah melaluinya pasti tak inginkan untuk kembali ke sana. Perasaan serik masih terasa.



"Lima tahun saya tak minum minuman berais dan lima tahun juga tak menikmati makanan bergaram (rasa). Semuanya tawar di sana. Sudah tentu lebaran kali ini saya mahu merasai semua makanan yang sudah lama tidak dapat dinikmati.

"Sejak keluar penjara tempoh hari, saya sudah terbiasa makan satu jenis lauk sahaja walaupun isteri menghidangkan beberapa jenis. Mungkin terbiasa makan satu jenis lauk selama lima tahun masih terbawa-bawa sampai sekarang.

"Sama juga dengan pakaian di rumah. Cukuplah tiga helai pakaian yang diganti-ganti untuk kegunaan seharian. Ketika di penjara dahulu baju tak banyak mana juga. Kalau basuh sebelah malam, waktu Subuh sudah kering dan boleh pakai balik," tutur Ameng yang kini menetap di Masjid Tanah, Melaka.


Sumber: Utusan Malaysia


         ________________________





No comments: