25 August 2016

BERSALIN AWAL - MISHA OMAR DIKURNIAKAN 'BABY BOY'



Tahniah diucapkan buat penyanyi Misha Omar, 34, yang telah selamat melahirkan seorang anak lelaki seberat 2.05 kilogram secara normal di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, sekitar jam 10.20 malam semalam.

Difahamkan, Misha bersalin tiga minggu awal daripada tarikh jangkaan apabila mengalami pendarahan selepas selesai penggambaran muzik video lagu duet terbaharunya bersama Adibah Noor, Jiwa Sentuh Jiwa di Morib, Banting.





Penyanyi 'Bunga-Bunga Cinta' itu ketika dihubungi berkata, dirinya berdepan tanda awal bersalin sekitar jam 8 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Apabila kontraksi yang dialaminya semakin kerap, Misha ditemani pengurus yang juga kakaknya, Mimie Omar bergegas ke hospital kira-kira jam 10 malam untuk melakukan pemeriksaan.

"Saya bagaikan tidak percaya apabila doktor memberitahu sudah tiba masa untuk melahirkan, sedangkan sebelum ini saya dijangka menimang cahaya mata pada pertengahan bulan depan.

___________________________________________________
--- IKLAN ---

BERMINAT UNTUK BERIKLAN DI MYARTIS?   KLIK UNTUK INFO
_____________________________________________________


"Alhamdulillah dalam suasana panik itu, semua urusan dipermudahkan dan saya selamat melahirkan cahaya mata sulung pada jam 10.20 malam.

"Saya bersyukur kerana kebetulan suami, Firros Ezzwan Rosly pulang bercuti dan bergegas ke hospital untuk bersama saya ketika menempuh detik menguji itu," jelasnya.

Disebabkan bayi tersebut dilahirkan pra-matang, Misha memohon diberikan sedikit ruang untuk menumpukan perhatian kepada anak yang masih di bawah pengawasan doktor.



"Ketika ini, saya dan bayi yang masih belum diberi nama itu berada dalam keadaan sihat. Alhamdulillah, tiada apa yang membimbangkan cuma saya sedang menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu ini," katanya.

Untuk rekod, Misha dan Firroz yang juga seorang juruterbang diijabkabulkan pada 2 Mei 2014 di Kota Bharu, Kelantan. Sebelum ini, pasangan itu memiliki dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: