11 August 2016

DAPAT CEK TENDANG - AMENG SPRING KECEWA, RUGI RM15,000



Mentang-mentanglah dia seorang bekas banduan, senang-senang ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Terkini, Vokalis kumpulan Spring, Ameng, rugi RM15,000 gara-gara tertipu dengan janji manis pihak tertentu yang gagal membayar titik peluhnya membuat persembahan.

"Saya berusaha menghubungi pihak terbabit tetapi mereka beri pelbagai alasan. Saya juga belum bercadang membuat laporan polis kerana masih berharap pihak terbabit tampil dan melunaskan bayaran seperti dijanjikan," ujar Ameng, 48, yang terkejut menerima cek tendang daripada penganjur persembahan majlis makan malam, baru baru ini.





"Saya hanya menyedari ditipu ketika mahu menunaikan cek tersebut," tambahnya.

Kata Ameng lagi, dia berasa kesal dan kecewa kerana masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan hidupnya. Tambah-tambah dia kini sedang berusaha untuk kembali ke pangkal jalan dan memulakan hidup baru.

"Saya akui sejak keluar Penjara Kluang, undangan persembahan di serata tanah air tidak pernah putus. Mujur ada isteri, Sabariah Zakariah membantu mengatur jadual seni saya.

___________________________________________________
--- IKLAN ---

BERMINAT UNTUK BERIKLAN DI MYARTIS?   KLIK UNTUK INFO
_____________________________________________________

"Selain majlis makan malam dan korporat, saya juga banyak menerima undangan persembahan daripada pihak istana. Namun, keimanan saya tetap diuji apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan dan menipu pula," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Ditanya sama ada dia ingin berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan kerjaya seni, Ameng berkata dia terpaksa menangguhkan perkara itu buat sementara waktu.

"Tidak dinafikan memang penat berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap kali ada persembahan. Namun, banyak faktor yang perlu diambil kira jika benar mahu berpindah ke Kuala Lumpur. Selain ibu mentua yang uzur, anak bongsu saya juga bersekolah di Melaka," jelasnya.


Sumber: Harian Metro


         ________________________





No comments: