02 August 2016

FARA FAUZANA SAHKAN NIKAHI AHLI PERNIAGAAN 17 SEPTEMBER DEPAN



Segala spekulasi mengenai Fara Fauzana, 36, akhirnya terjawab apabila personaliti radio dan televisyen terkenal itu mengesahkan bahawa beliau bakal menamatkan zaman bujangnya bersama ahli perniagaan dikenali dengan nama Hafiz pada 17 September depan.

Perkara tersebut dimaklumkan Fara menerusi satu sidang media khas yang berlangsung tengah hari semalam.

Pada sidang media itu, Fara memberitahu yang beliau dan bakal suaminya itu memilih untuk melangsungkan majlis pernikahan pada sebelah pagi, manakala acara resepsi pula diadakan pada tengah hari tarikh yang sama. Majlis bertandang pula dirancang berlangsung seminggu selepas acara akad nikah, di Kuala Lumpur.





Fara yang dirisik keluarga Hafiz Febuari lalu dalam satu majlis yang ringkas turut memberitahu, tiada majlis pertunangan dilangsungkan antara dirinya dengan Hafiz.

"Kami tidak bertunang, sebaliknya hanya majlis bertemu keluarga diadakan sekitar Februari lalu. Majlis kahwin saya nanti juga sangat sederhana dan ringkas. Kemeriahan itu saya percaya akan dirasa daripada tetamu yang hadir.

"Saya pun banyak bertekak 'manja' dengan ibu bapa kerana saya tidak mahu mengadakan beberapa acara berbeza, seperti sering dilakukan ketika perkahwinan. Saya enggan menyusahkan sesiapa," ujarnya dipetik sebagai berkata.



Ditanya mengenai perkenalan bersama bakal suami, bekas pengacara rancangan Nona dan Melodi berkata mereka sudah saling mengenali sejak lebih dua tahun lalu.

"Begitupun, kami hanya kian rapat dan serius ke arah perkahwinan sejak baru-baru ini. Kami bertemu selepas diaturkan teman pada sebuah majlis makan. Selama ini, kami selalu keluar beramai-ramai bagi mengelakkan perkara tidak diingini. Jadi, menerusi cara itu juga mungkin orang tidak dapat menghidu persahabatan kami," katanya.

Sejak mengundurkan diri daripada radio milik Media Prima Berhad itu kira-kira lima bulan lalu, pemenang beberapa kali trofi Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini berkata yang beliau mempunyai lebih banyak waktu untuk memikirkan soal berumah tangga.

--- IKLAN ---
(dijamin oleh myartis sebagai 'good seller' - pesanan pos laju pasti dihantar)



Apabila ditanya lebih lanjut mengenai bakal suami, Fara memilih untuk memberitahu namanya sahaja terlebih dahulu, selebihnya beliau akan memeperkenalkannya di majlis perkahwinan mereka

"Selebihnya, rakan media dan tetamu akan tahu pada majlis perkahwinan kami nanti. Apa yang boleh saya kongsi, seperti saya, dia juga berasal dari Shah Alam.

"Sikapnya pula agak bertentangan dengan diri saya. Selain pemalu, dia juga lebih banyak diam dan hanya bercakap apabila dirasakan perlu. Saya tertarik dengannya atas faktor agama dan keperibadiannya. Tidak dinafikan juga, dia sangat sabar dan tahan dengan sikap saya," jelasnya.




Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: