24 August 2016

"HANYA KAWAN" - ERRA FAZIRA TAK MAHU DIKAITKAN DENGAN SHAHIR LAGI



Sudah lama tidak bertemu!

Demikian kata pelakon Erra Fazira, 42, yang bertemu kali terakhir dengan penyanyi Shahir setahun setengah lalu.

Kata Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, sepanjang tempoh itu mereka hanya menggunakan medium aplikasi WhatsApp untuk bertanya khabar dan mengetahui perkembangan masing-masing.

Jelas Erra lagi, kebanyakan perkara yang tersebar yang mengaitkan dirinya dengan Shahir di laman sosial adalah tidak benar.





"Banyak perkara yang diperkatakan tentang kami tidak benar malah kami kali terakhir bertemu pun setahun setengah yang lalu. Pada kebanyakan masanya kami bertanya khabar menerusi WhatsApp," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, Shahir yang juga juara program Akademi Fantasia musim kelapan mengakui sedang berkawan dan mengenali hati budi Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 42.

Malah ura-ura Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi, 27, akan merisik pelakon itu pada Aidilfitri lalu turut hebat diperkatakan.

Dalam pada itu, Erra menjelaskan dakwaan mengenai bakal berkahwin bukan datang daripada mulut mereka dan ia sama sekali tidak benar.



"Perkara tentang merisik dan berkahwin tidak pernah datang daripada mulut saya atau pun Shahir. Cuma dia hanya menjelaskan kami memang berkawan itu sahaja dan perancangan berkahwin seperti diperkatakan sama sekali tidak benar," jelasnya.

Tambah Erra, dia menyifatkan hubungannya bersama Shahir hanyalah sekadar kawan dan dia juga berharap agar cerita tidak benar mengenai mereka diperbesarkan.

"Saya sudah tidak tahu ingin cakap apa lagi kerana kami hanya berkawan sahaja dan berharap ia tidak lagi diperbesar-besarkan," katanya.

Sementara itu, Erra yang pernah memuat naik videonya bersama anaknya Engku Aleesya yang cuba untuk bercakap bahasa Malaysia (BM) itu telah mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada warga laman sosial berikutan anaknya yang masih kurang fasih bercakap bahasa Malaysia dengan lancar.



"Dia masih kanak-kanak dan ini bukan soal bahasa apa yang dia kuasai tetapi sebagai ibu saya kena mendidiknya agar semua perkara seimbang. Secara dasarnya dia memang lebih selesa berbahasa Inggeris tetapi sekarang saya sering bercakap dalam bahasa Malaysia dengannya. Ia satu proses dalam mendidiknya dan kritikan orang terhadap saya atau pun anak saya tidak menjadi kudis," jelasnya.

Perkara tersebut mendapat reaksi negatif daripada netizen yang menganggap Erra perlu lebih proaktif dalam mengajar anaknya menguasai bahasa ibunda.

Dalam pada masa sama, Erra berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk membentuk anaknya menjadi seorang kanak-kanak urban seperti didakwa sesetengah pihak. Sebaliknya kata Erra, sebagai ibu dia mahu melihat Aleesya membesar dengan jati diri seorang Melayu yang kuat.

"Jika ada kesempatan pulang ke kampung saya selalu dedahkan dia dengan pelbagai perkara yang biasa saya lakukan semasa kecil. Tiada istilah nak jadikan dia urban kerana ia tidak benar," ulasnya.

Malah kata Erra, dia berasa pelik apabila ada pihak mengatakan Aleesya tidak pandai bergaul dan hanya mendekati individu tertentu sahaja.

"Dia sebenarnya seorang yang pemalu dan tidak mudah rapat dengan orang baharu dikenalinya. Bukan dia sahaja malah ramai lagi kanak-kanak seusianya yang lambat mesra dengan orang tidak dikenali," tuturnya.


Sumber: mStar



         ________________________





No comments: