26 September 2016

PELAKON DITAHAN MILIKI GANJA, PEDANG SAMURAI, PISAU & PISTOL



Seorang pelakon pembantu dalam beberapa drama tempatan berusia 28 tahun ditahan polis bersama dua rakannya selepas disyaki menanam dan memiliki ganja.

Selain ganja, mereka juga didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu tujuh pedang samurai, 21 pisau, tiga buku lima, empat pistol angin, dua laras senapang angin, sebilah kapak dan sehelai vest Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Ampang, semalam.





Menurut sumber, serbuan pada 12.40 tengah hari itu dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Dalam serbuan tersebut, polis menemui beberapa pokok yang ditanam dalam pasu dan dedaun kering dalam bekas kaca disyaki ganja serta satu bekas pengisar mengandungi dedaun kering disyaki daun ganja.

"Pemeriksaan lanjut menemui biji benih pokok ganja, tujuh pedang samurai, 21 pisau, tiga buku lima, empat pistol angin, dua laras senapang angin, sebilah kapak dan sehelai vest Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya sumber itu.

Kesemua nilai barangan yang dirampas d rumah berkenaan dianggar RM25,000.

Tambahnya, semua suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun itu dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

"Mereka akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 4 Akta Senjatapi 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357)," ujarnya lagi dipetik sebagai berkata melalui Harian Metro.



         ________________________





No comments: