08 October 2016

3 GAMBAR - AWIE SELAMAT NIKAHI SYARIFAH LADYANA



Kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam, penyanyi dan pelakon Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, telah selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, dengan sekali lafaz.

Majlis pernikahan yang berlangsung di lokasi rahsia atas permintaan Awie dan keluarganya itu dihadiri anak-anak Awie dan anggota keluarga terdekat. Bagaimanapun pasangan ini dikatakan telah bernikah di Masjid Sultan Sulaiman di Songkhla, Selatan Thailand.





Dalam majlis tersebut, Awie memakai baju berwarna hitam dengan selempang dan tanjak berwarna kuning manakala isterinya yang sebelum ini pernah bertugas di sebuah syarikat penerbangan, tampak anggun mengayakan baju kebaya berwarna serupa. Pasangan ini masing-masing menitiskan air mata selepas berakhirnya majlis akad nikah.

Menurut Awie, keikhlasan Syarifah Ladyana menerima dan melayan lima anaknya daripada perkahwinan terdahulu seperti darah daging sendiri adalah salah satu sebab beliau terpikat dengan wanita itu.

"Dia wanita yang bersederhana dalam segala hal serta pandai membawa diri. Paling penting, dia bukan saja menerima saya seadanya, malah menyayangi anak-anak saya tanpa syarat.



"Keikhlasan itu yang menambat hati saya untuk menyuntingnya sebagai suri hidup. Bagi saya, kebahagiaan ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya kepada anak-anak saya yang perlukan belaian ibu," katanya yang memberi mas kahwin sebanyak RM360 kepada Syarifah.

Selesai majlis pernikahan, pengantin telah diraikan dalam majlis resepsi berkonsep tradisional Melayu di tepi pantai dengan dihadiri kira-kira 250 tetamu, semalam.

Untuk makluman anda, perkahwinan ini merupakan kali ketiga buat Awie yang mengikat tali pertunangan dengan Sharifah Ladyana di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 3 Jun lalu.



Sebelum ini, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar pada tahun 1998 sebelum bercerai lapan tahun kemudian.

Menerusi perkahwinan dengan Arni, Awie dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Awie kemudian menikahi Rozana Misbun pada tahun 2005 secara rahsia di Selatan Thailand. Hasil perkahwinan itu, mereka memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Pada 1 November 2014, Rozana dilaporkan berjaya mendapatkan tuntutan fasak secara taklik terhadap Awie dari pejabat Majlis Agama Islam, Songkhla, Thailand. Kes pengesahan perceraian mereka masih lagi berjalan di mahkamah syariah dalam negara.


Sumber: Berita Harian, mStar & Utusan
Foto: Berita Harian


         ________________________





No comments: