08 October 2016

ZARINA ZAINUDDIN SAHKAN DIRINYA KINI BERTUDUNG SEPENUHNYA



Pernah menjalani tempoh percubaan bertudung sepanjang Ramadan lalu, pelakon Zarina Zainuddin, 45, mengesahkan beliau kembali bertudung sejak 30 September lalu. Ini kerana kata Zarina, ketika menunaikan solat Subuh pada hari terbabit, beliau dapat berasakan seakan-akan ada 'suara' yang memintanya untuk berubah demi kebaikan.

"Entahlah, tiba-tiba apabila melihat anak-anak, terasa sayu di hati. Selama ini, ketika saya menunaikan solat, sukar untuk saya melakukannya dengan khusyuk. Bagaimanapun pada Subuh Jumaat itu (30 September), sewaktu solat, hati terasa sayu dan tiba-tiba pula saya menangis ketika sujud.





"Saat itu, seakan-akan ada suara yang berkata, berubahlah untuk kebaikan. Kemudian saya berdoa kepada Allah, kenapa saya tidak mendapat hidayah-Nya, apakah saya jahat atau adakah hati saya keras untuk mengikut suruhan-Nya? Sedangkan, saya sudah berasa semua kesusahan, kesenangan dan kebahagiaan yang Allah beri.

"Saya berdoa kepada Allah, saya tidak mahu apa-apa lagi kerana sudah serba cukup, mempunyai keluarga sempurna, anak-anak, suami dan madu yang baik, tetapi iman pula belum kuat," ujarnya dipetik sebagai berkata.



Zarina yang turut risau dengan ujian yang bakal dilalui pada masa akan datang bagaimanapun enggan bercerita lebih lanjut mengenai penghijrahannya itu memandangkan dirinya masih baru berbuat begitu.

"Sejujurnya, saya selesa dengan perubahan ini. Selama ini, pengikut laman sosial juga sering mendoakan saya. Mereka banyak memberi sokongan. Cuma saya tidak berani untuk bercerita lebih-lebih.

"Diharap saya dapat mengharungi kehidupan ini dan saya berdoa, sekiranya gagal, saya berharap Allah dapat membantu saya ke jalan yang lebih baik," tuturnya.


Sumber: Berita Harian
Foto: Zarina Zainuddin IG


         ________________________





No comments: