Mengambil keberkatan hari penuh kemuliaan iaitu pada 1 Muharram lalu, bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim telah membuat keputusan menutup aurat iaitu berhijab.
Menurut Azrinaz, hasratnya untuk berhijab akhirnya termakbul dan menyifatkan penghijrahan itu memberikan ketenangan yang amat luar biasa kepadanya.
Bagi Azrinaz, keputusan yang diambil itu semata-mata kerana memenuhi tuntutan agama dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa isu melibatkan peribadinya seperti yang dilaporkan di media sebelum ini.

Kesyukuran juga dipanjatkan Azrinaz kepada Allah kerana niat untuk berhijrah juga mula terlintas di fikirannya ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-37 pada 23 September lalu.
"Kebetulan ketika meraikan ulang tahun kelahiran baru-baru ini saya mula memikirkan secara serius untuk bertudung. Tidak lama selepas tarikh hari lahir saya, menyusul 1 Muharam membuatkan saya nekad untuk berhijrah. Alhamdulillah, ini adalah permulaan baharu dalam kehidupan saya," ujar Azrinaz dipetik sebagai berkata.
Azrinaz yang kini berada di Dubai atas urusan perniagaan turut berkongsi kegembiraan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat dengan penghijrahan imej yang dilakukannya.

Sokongan orang-orang di sekeliling, kata Azrinaz, membuatkannya bertambah yakin bahawa penghijrahan itu adalah yang terbaik untuk masa depannya. Kata Azrinaz, sebelum nekad menutup aurat, beliau terlebih dahulu mempersiapkan dirinya dengan mendalami ilmu agama.
"Seperti orang lain, saya juga mahu menjadi individu yang lebih baik berbanding sebelum ini. Saya sentiasa percaya setiap orang harus berusaha untuk menjadi lebih baik dan keputusan berhijrah ini adalah titik permulaan buat saya. Doakan saya supaya terus istiqamah dalam melalui kehidupan," jelasnya.
Dalam perbualan itu juga, Azrinaz berkata, pada masa ini, beliau selesa memberi tumpuan terhadap perniagaannya yang juga menuntutnya berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Dubai selepas ini.
Ketika ditanya mengenai spekulasi hubungan cintanya dengan ikon fesyen, Wak Doyok yang dilaporkan sudah berakhir, Azrinaz menyifatkan perkara itu sebagai tiada isu.
Bahkan, bekas isteri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah itu juga enggan berkongsi apa-apa mengenai hal itu kerana baginya banyak lagi perkara lebih penting yang harus diberi keutamaan.
Sumber: Utusan Malaysia
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment