19 October 2016

CINTA FAYE LEPAS SOLAT ISTIKHARAH - AZMI HATTA BUAT AKUAN BERSUMPAH



Nampaknya isu antara Elly Mazlein dan bekas suaminya seorang pengarah, Azmi Hatta belum berakhir lagi apabila Azmi tampil mendedahkan setiap butiran mengenai penceraian mereka selepas tidak tahan dengan segala tomahan dan tuduhan dibuat oleh bekas isterinya itu.

Ini kerana sejak Azmi bercerai dengan Elly, saban hari penyanyi dan pelakon wanita itu membongkar satu demi satu sikap buruk Azmi kepada umum. Malah, Elly ada menyindir Azmi menerusi beberapa hashtag di Instagram.

Perbuatan Elly itu nyata memberikan kesan terhadap Azmi, apabila pengarah itu sering dikecam oleh masyarakat dan dilabelkan sebagai bapa tidak bertanggungjawab.





Azmi dalam satu kenyataannya yang turut menunjukkan akuan bersumpah mengenai masalah rumah tangganya dengan Elly pada sidang media tergempar Akuan Bersumpah di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur petang semalam telah membongkar sikap sebenarnya bekas isterinya.

Menurut Azmi, sikap Elly yang cemburu buta terlampau membuatkan beliau berubah hati dan memilih jalan untuk berpisah. Bukan itu sahaja, malah kata Azmi, Elly pernah menyerangnya di lokasi penggambaran drama dan menuduh beliau berlaku curang dengan pelakon yang membintangi drama arahannya.

"Elly seorang yang terlalu kuat cemburu orangnya, awal hubungan kami bercinta lagi sudah timbul konflik cemburu kerana dia menuduh saya berlaku curang dengan pelakon yang menjayakan drama saya.



"Hampir semua projek drama yang saya arahkan menjadi isu pertengkaran kami, selagi ada watak perempuan lebih cantik dan seksi pasti saya akan dituduh curang.

"Sehingga sampai satu tahap dia menyerang saya di lokasi gara-gara cemburu dengan Nelydia Senrose yang ketika itu menjadi pelakon utama.

"Kami tidak henti bertengkar, dia melemparkan kata-kata kesat biarpun saya sudah bersumpah dengan nama Allah (terhadap sesuatu perkara).

"Baju saya ditarik sehingga koyak, Elly juga menumbuk, memukul malah sampai tahap sepak terajang saya di dalam kereta ketika dia datang menyerang di lokasi semata-mata cemburukan Nelydia.


Gambar kenangan semasa perkahwinan Azmi dan Elly Mazlein pada 2014.


"Bapa Elly sendiri mencadangkan kami berpisah dan Elly bersetuju kami berpisah secepat mungkin. Selesai perbincangan itu Elly pantas mengambil kain baju saya lalu meletakkan di luar pintu rumah. Sejak itu saya jarang berhubung dengan Elly," jelas Azmi.

Berbicara mengenai anak mereka Putri Sara Sefhia yang lahir pada 9 Mac lalu, Azmi hanya akan bertemu anak perempuannya itu sekiranya Elly sudah berubah sikap dan tidak lagi mencetuskan provokasi.

Sementara itu, Azmi turut mengakui serius bercinta dengan pelakon Faye Kusairi selepas diberi petunjuk melalui solat Istikharah. Azmi berkata hubungannya dan Faye terjalin dua bulan selepas mereka bercerai Oktober lalu.



"Saya menjalinkan hubungan cinta yang serius selepas saya dikurniakan ilham dan Allah menampakkan wajah Faye Kusairi dalam solat istikharah. Demi Allah saya bercakap benar. Setelah beberapa kali pertemuan dengan Faye barulah saya beritahu mengenai gambaran solat istikharah itu," katanya yang turut membuat pengakuan bersumpah Faye bukan punca penceraiannya dan Elly.

Menurut Azmi, tujuan akuan sumpah itu dibuat bagi memulihkan serta membersihkan namanya dan juga Faye yang telah dituduh dan dilempar pelbagai tomahan, termasuk menjadi orang ketiga dalam hubungannya dengan Elly.

"Disini saya mahu bersumpah bahawasanya dakwaan yang mengatakan Faye Kusairi punca saya berpisah dengan Elly Mazlein adalah tidak benar. Saya mengadakan sidang media ini bagi membersihkan nama baik saya dan Faye serta keluarga sekaligus menghentikan segala provokasi di media massa selama ini," ujar Azmi dipetik sebagai berkata.

Untuk rekod, Azmi dan Elly berkahwin pada 9 November 2014 sebelum bercerai pada 15 Oktober 2015.


Sumber: mStar & Astro Gempak
Foto: Berita Harian, mStar & Elly Mazlein IG



         ________________________





No comments: