23 October 2016

"HUBUNGAN KAMI TAK ADA MASALAH" - ERRA FAZIRA



Sebelum ini Erra Fazira pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau enggan dikaitkan dengan Shahir lagi. Disebabkan kenyataan itu, ramai yang menggangap hubungan antara mereka mempunyai masalah.

Enggan perkara disalahartikan, Erra telah tampil mengatakan hubungannya dengan bekas juara Akademi Fantasia musim ke-8, Shahir Zawawi itu masih baik dan tidak mempunyai masalah.





Dek kerana salah faham tersebut, kata Erra, Shahir mengambil keputusan untuk bertemu dengannya di Kuala Lumpur setelah setahun lebih mereka berhubung melalui kirim WhatsApp dan beberapa aplikasi lain lagi.

"Sebenarnya saya dan Shahir agak terkejut bila cerita jangan kaitkan lagi diri saya dengannya keluar. Memang saya ada beri kenyataan itu tetapi ia tidak bermaksud yang hubungan kami bermasalah.

"Maksudnya, saya enggan lagi kisah cinta ini diperbesarkan. Hakikatnya, hubungan saya dengan Shahir okey saja," luah Erra sambil tertawa kecil ketika ditemui media di lokasi penggambaran drama terbaharunya, 'Andartu...Kau Bidadari Ku' terbitan Skop Production Sdn. Bhd di Damansara Perdana, Petaling Jaya.



"Di sebalik salah faham tersebut ada juga hikmahnya. Setelah setahun lebih tak berjumpa, Shahir datang ke Kuala Lumpur berjumpa dengan saya untuk selesaikan salah faham tersebut," jelas Erra mengenai suri hatinya yang kini berada di Perak bagi menguruskan perniagaannya.

Berkongsi lanjut mengenai drama 'Andartu... Kau Bidadari Ku' arahan Aziz M. Osman itu, kata Erra, dia tidak menyangka ditawarkan watak andartu daripada Datuk Yusof Haslam.

"Masa jumpa Datuk, dia minta saya kosongkan jadual pada sekian-sekian tarikh untuk drama terbaharu terbitannya. Saya ikutkan sahaja memandangkan saya mula berlakon dengan Skop Production. Namun, saya tak sangka rupa-rupanya dia nak beri saya watak andartu," ujar Erra sambil ketawa.

Tidak kisah dengan watak tersebut sementelah percaya dengan individu yang menaikkan namanya ke dunia seni, Erra menerimanya dengan hati terbuka.

Drama yang turut dibintangi oleh Norman Hakim itu juga menyaksikan gandingan semula Erra di samping aktor bertubuh sasa itu selepas filem Pasrah.

"Sebelum ini kami ada digandingkan dalam beberapa drama cuma kali ini gandingannya lebih banyak. Dalam drama ini Norman jadi bekas teman lelaki yang psiko.

"Alhamdulillah, berlakon kembali dengan Norman tiada masalah sebab saya tahu rentak lakonannya," jelas Erra yang mengakui tidak kekok bergandingan semula dengan bekas teman lelakinya itu.

Sementara itu, mengulas mengenai perkahwinan ketiga Awie dengan isterinya, Sharifah Ladyana, tiada apa yang Erra dapat katakan selain mendoakan kebahagiaan dia.

"Semoga perkahwinan tersebut berkekalan dan mendapat kebahagiaan hakiki," ucapnya.


Sumber: Kosmo
Foto: Erra Fazira IG

         ________________________





No comments: