Mahkamah hari ini memerintahkan bekas suami pelakon dan penyanyi Elly Mazlein, membayar RM1,500 sebulan berkuatkuasa serta merta kepada anaknya yang kini berada dalam jagaan Elly.
Perintah itu dikeluarkan oleh hakim syarie, Mahkamah Rendah Syariah Sepang dekat sini iaitu Ceh Abdullah Che Hassan kepada pengarah drama, Azmi Hatta, selepas mendengar kes berkenaan.
"Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur kepada Allah kerana hari ini segalanya telah pun selesai dan paling penting ialah hak anak saya.

"Tiada apa lebih menggembirakan saya apabila mahkamah meluluskan permohonan saya dan tak apalah saya tidak dapat sebarang hak sepanjang bergelar isteri kerana paling penting kebajikan dan hak anak saya terbela," ujarnya dipetik sebagai berkata melalui Mstar.
Tambah Elly, dia juga faham dengan situasi bekas suami yang mempunyai dua lagi anak yang perlu ditanggung dan tidak mahu membebankannya dengan tuntutan berlebihan.

"Insya-Allah saya sudah boleh tidur lena selepas ini dan enggan lagi melayan apa sahaja melibatkan Azmi dan Faye Kusairi selepas ini," katanya.
Untuk rekod, Elly dan Azmi berkahwin pada 9 November 2014 di Surau As Sakinah, bersebelahan kubur ibu Elly di Puchong, Selangor, sebelum bercerai pada 15 Oktober tahun lalu. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Putri Sara Sefhia.

________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment