13 October 2016

AIR MATA IRINGI 'KONSERT 3 KEJORA BERSATU'



Persembahan Rabbani, Brothers dan Hijjaz dalam Konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini diiringi air mata apabila peminat terkenang tiga anggota nasyid kumpulan tersebut yang telah pulang ke pangkuan Ilahi.

Untuk rekod, pada 15 Februari 2001, kumpulan Hijjaz menerima perkhabaran seorang anggota mereka, Mohd Salleh Ramli meninggal dunia di rumah keluarganya di Felda Semenchu, Kota Tinggi, akibat radang paru-paru.

Lapan tahun kemudian (13 Ogos 2009), peminat Rabbani pula bersedih apabila penyanyi utama kumpulan itu, Asri Ibrahim meninggal dunia.





Seterusnya, sehari sebelum berlangsungnya Konsert 3 Kejora Bersatu pada Jumaat dan Sabtu lalu, salah seorang anggota Brothers, Mohd Salleh Mohamed Deril pula meninggal dunia akibat serangan jantung.

Terdahulu, segmen ‘tribute’ kepada ketiga-tiga anggota terbabit disusuli paparan wajah mereka di layar lebar pentas itu, suasana tiba-tiba jadi hening dan nyanyian Yasin terhenti seketika kerana tidak berdaya menahan sebak di dada.



Konsert yang menghimpunkan peminat Rabbani, Hijjaz dan Brothers dari seluruh negara serta Singapura itu turut menawan hati peminat merata dunia.

"Alhamdulillah, dalam segala kepayahan itu akhirnya semua berjalan lancar dan mendapat sambutan yang tidak disangka.



"Berikutan kejayaan ini, saya tidak mahu ia berakhir begitu saja dan akan terus merancang untuk mengadakan siri persembahan yang seterusnya," ujar Pengarah Urusan Kay Event Management & Services Datuk Hakimie Faizal Zaulkapli yang juga penganjur konsert berkenaan.

Antara lagu yang dipersembahkan pada malam itu ialah Janji Khalifah, Man Ana, Bacalah, Dia Kekasih Allah, Intifada, Satu Kiblat Yang Sama, Pergi Tak Kembali, Fatamorgana, Sumayyah, Demi Cinta, Teman Sejati, Satu Perjuangan, lagu tribute - Kau Sahabat Kau Teman/Kejora Sinar Zaman, Embun Hidayah, Yang Bear dan Cahaya Ilahi.






Sumber: Harian Metro
Foto: HM & Miera Nadhirah Tan



         ________________________





No comments: