13 October 2016

"LEBIH BAIK BIMBING DARIPADA SIBUK DENGAN MEDIA SOSIAL" - ADI PUTRA



Pelakon Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 35, yang baru saja mengamalkan poligami menegaskan bahawa beliau enggan berkongsi maklumat ataupun foto isteri keduanya di laman sosial.

Menurut Adi, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu kontroversi perkahwinan keduanya terus menjadi buah mulut sekali gus menyebabkan ada hati yang terluka.

"Saya ada sebab tertentu mengapa saya tidak berkongsi langsung gambar isteri kedua saya di Instagram.





"Bagi saya, media sosial ialah senjata paling berkesan untuk mengundang spekulasi yang akhirnya memakan diri. Mengapa kita perlu dekat dengan bahan api kalau kita tahu ia boleh membahayakan diri?

"Lagipun, antara media sosial dan solat, mana yang lebih wajib? Lebih baik saya bimbing isteri saya ke arah yang lebih baik daripada sibuk dengan media sosial.

"Dalam hal ini, kita kena ingat, ia bukan saja membabitkan kedua-dua isteri, tetapi juga ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkara itu yang saya kena jaga," kata Adi ketika ditemui media pada majlis memasang poster gergasi filem 'Hanyut'.


ISTERI KEDUA ADI PUTRA


Ditanya adakah isteri keduanya ada mempersoalkan mengenai perkara terbabit, Adi berkata, biarlah beliau seorang saja yang tahu mengenai perkara itu.

"Kalau saya bercerita panjang mengenai perkara ini, lebih baik saya cerita keseluruhannya, maknanya dengan pekung-pekung sekali. Sama ada isteri saya itu mempersoalkannya atau tidak, biarlah ia menjadi rahsia saya," jelasnya.

Mengenai kemungkinan kedua-dua isterinya sudah pun dipertemukan, pelakon drama 'Cinta Si Wedding Planner' ini menjelaskan, biarlah perkara itu berlaku dengan sendiri.


ISTERI PERTAMA ADI PUTRA


"Saya tidak gemar mengatur atau membuat perancangan dan lebih selesa membiarkan sesuatu itu berlaku dengan sendirinya. Biarlah kehidupan ini berjalan seperti air yang mengalir," ujarnya berkias.

Terdahulu, Adi dalam sidang media khas sebelum ini mengesahkan dirinya itu sudah pun bernikah lagi dengan seorang wanita dikenali sebagai Nor Shahida Zolkifly pada 20 Jun lalu. Pengakuan itu dibuat selepas foto perkahwinan mereka tersebar di alam maya.

Adi sebelum ini pernah berdepan masalah rumah tangga dengan isteri pertama, Aida Yusof, 41, apabila beliau memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mei 2012. Mendirikan rumah tangga sejak 14 April 2006, Adi kemudian membatalkan hasrat untuk bercerai.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments: