26 November 2016

BERSALIN ARRIL 2017 - PUTERI SARAH INGIN ANAK NAMA HURUF S



Isteri kepada pelakon dan pengarah Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana yang kini sedang hamil empat bulan itu dijangka bakal melahirkan anak sulung mereka iaitu anak lelaki pada awal bulan April 2017.

Ternyata keterujaan untuk menyambut kehadiran anak sulung kelak, membuatkan Sarah dan suaminya itu sibuk mencari nama yang sesuai untuk cahaya mata mereka.





Sarah yang bakal menyambut hari lahir ke-31 pada 1 Disember ini berkata yang dia tidak kisah nama apapun, asalkan nama tersebut mestilah bermula dengan huruf S seperti mana dirinya dan suami.

"Sekarang ini kami sibuk cari nama tapi saya ada syarat sendiri. Tak kisahlah nama apa, janji nama itu mesti bermula dengan huruf S sebab saya nak nama anak sama dengan nama saya dan Syamsul," kata Sarah.

Seperti wanita mengandung yang lain, Sarah yang tidak lokek untuk bercerita tentang perkembangan dirinya sekarang itu sering mengidam pelbagai jenis makanan.



"Setakat ini alhamdulillah, sejak awal mengandung hingga sekarang saya tidak ada alahan pagi (morning sickness). Entahlah, mungkin alahan seperti pening dan mual itu pergi kepada Syamsul kot sebab sebelum dapat tahu saya hamil, dia sering mengadu pening-pening dan rasa mual.

"Sekarang ini saya cuma alah pada makanan, pantang jumpa. Saya mengidam macam-macam tapi yang kelakarnya, saya suka makanan yang sebelum ini bukan dalam senarai menu kesukaan. Sekarang ini saya idam makan BBQ dan makanan pedas yang merupakan kegemaran Syamsul," ceritanya.

Malah kata Sarah, suaminya juga sedia maklum akan keinginannya yang sering mengidam pada waktu malam untuk makan. Setiap kali Syamsul pulang ke rumah, biar selewat mana sekalipun dia tetap akan membawa Sarah pergi mencari makanan yang diidamkan.

"Ada sekali tu, Syamsul baru balik rumah lepas penggambaran, pukul 2 pagi. Saya kata nak makan bubur, dia bawa saya ke Hotel Concorde, Kuala Lumpur nasib baik ada. Selain itu, saya juga sering mengambil makanan tambahan seperti yang disyorkan oleh doktor.

"Alhamdulillah, setakat ini saya sihat walafiat dan berharap diberi kesihatan yang sihat sehingga bersalin kelak yang dijangka pada awal April tahun depan," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Menyentuh mengenai dunia seni, kata Sarah, sebelum mendapat tahu diri hamil, dia ada menerima tawaran untuk menjadi pengacara untuk sebuah program. Bagaimanapun peluang itu terpaksa dilupakan kerana sebagai pengacara, dia perlu melakukan beberapa aktiviti lasak.

"Saya memang teruja dapat menjadi pengacara program ni, tapi mungkin bukan rezeki kerana dalam program itu nanti saya perlu buat aktiviti. Harap-harap nanti adalah tawaran lain," jelasnya.

Dalam pada itu, Sarah juga sempat memberitahu akhir bulan ini, mereka sekeluarga akan bercuti ke London dan seterusnya, dia dan suami akan ke Paris.


Sumber: Utusan
Foto: Puteri Sarah Liyana IG



         ________________________





No comments: