03 November 2016

SALURAN DARAH BENGKAK - ZAINAL TJ DIMASUKKAN KE HOSPITAL



Selepas keadaan kesihatannya semakin kronik, bekas pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 1995, Zainal TJ atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad, 54, telah dimasukkan ke Hospital Serdang (HS) sejak 26 Oktober.

Isterinya, Ida Yuhana Sulaiman, 45, berkata, Zainal yang kini dirawat di hospital berkenaan itu mengalami masalah salur darah membengkak.





"Sebelum ini abang ada mengalami masalah kaki bengkak dan jantungnya lemah. Doktor mengesyaki ia mungkin berpunca daripada masalah hati yang mengalami jangkitan.

"Apabila makan ubat, bengkak di kakinya akan sembuh tetapi masalah salur darah membengkak ini baru dikesan dan tiada ubat yang boleh mengubatinya kecuali menjalani pembedahan.

"Keliling salur darah dalam perutnya kini mula dijangkiti kuman. Untuk buat pembedahan pula agak berbahaya kerana kuman masih ada di sekelilingnya,," kata isteri Zainal.

Menurutnya lagi, kesan daripada penyakit itu menyebabkan berlakunya jangkitan kuman dalam darah yang seterusnya merebak ke hati.

"Doktor terpaksa membasmi kuman terlebih dahulu dalam tempoh tujuh hingga sembilan hari dan perlu melihat keadaan jantungnya juga sebelum buat pembedahan," jelasnya.

Ida berkata, Zainal mempunyai semangat yang kuat untuk melawan penyakit ini dan tetap positif dengan dugaan yang dihadapi.

"Abang tak nak sangat fikir mengenai pembedahan dan dia juga bercadang merawat penyakitnya menggunakan rawatan alternatif selepas ini," jelasnya.

Kali terakhir Zainal berlakon adalah menerusi drama 'Ikan-Ikan Di Kaca' pada Januari lalu.


Sumber & foto: Harian Metro



         ________________________





No comments: