03 December 2016

MIA AHMAD NIKAHI PENJAGA GOL JDT 13 JANUARI DEPAN



Petang semalam pelakon Mia Ahmad, 28, telah mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan tarikh pernikahannya dengan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan, 25.

Dalam sidang media tersebut, Mia yang datang bersama cinta hatinya itu memilih 13 Januari 2017 sebagai tarikh penyatuan mereka berdua. Selain itu, Mia turut memaklumkan tarikh pernikahan mereka terpaksa dianjakkan sedikit kerana bakal suaminya terikat dengan komitmen kerja.





"Kami sepatutnya bernikah lebih awal, tetapi perancangan itu terpaksa dianjakkan apabila Izham terikat dengan komitmen kerja. Alhamdulillah, perancangan yang dibuat sejak beberapa bulan lalu sudah hampir 80 peratus sempurna," jelas Mia.

Majlis pernikahan pasangan ini akan berlangsung di Villa Sentosa, Taiping, Perak. Manakala majlis resepsi pula akan diadakan pada keesokan harinya di Kelab Gold Taiping. Seterusnya, mereka bakal diraikan dalam satu majlis di Kuala Lumput pada akhir Januari serta diikuti dengan acara bertandang pada sebelah pengantin lelaki di Marang, Terengganu.

Mia yang tidak bertunang dan hanya menjalani majlis merisik yang diadakan di ibu kota dua minggu lalu memberitahu yang mereka mula berkenalan sejak setahun lalu, namun hubungan ini mulai serius sejak beberapa bulan lalu.



"Kami bersua buat kali pertama pada November tahun lalu ketika saya menjalani penggambaran di Johor Bahru (JB). Kami diperkenalkan menerusi kawan. Pada mulanya, saya langsung tidak tahu Izham adalah bintang bola sepak kerana saya tidak mengikuti perkembangan sukan itu.

"Selepas pertemuan itu, kami tidak pernah berhubungan sehinggalah Izham menegur saya di laman Twitter. Sesekali, saya akan membalas sapaannya dengan jawapan ringkas dan ada ketika, saya mengabaikan saja.

"Tidak sangka pula, peminat yang menyedari perkara itu mula mengusik hingga ia menjadi perhatian. Hanya selepas melakukan carian di Internet, baru saya tahu identiti sebenar Izham," katanya.

Sementara itu, Izham mengakui tidak mudah untuk memikat hati bakal isterinya.

"Sejak awal, saya tahu Mia adalah pelakon kerana pernah menonton drama Hati Perempuan. Saya meminati personaliti dan gaya pemakaiannya, namun tidak sangka dapat bersua depan mata ketika Mia menjalani penggambaran di JB.

"Selepas mengenalinya dan hubungan kami semakin akrab, saya dapati Mia begitu memahami selain manja. Saya selesa mendampinginya. Selepas berumahtangga, saya tidak akan menghalang minat Mia untuk meneruskan kerjaya lakonan," ujar Azham dipetik sebagai berkata.


Sumber: Berita Harian
Foto: Berita Harian & Rotikaya



         ________________________





No comments: