28 January 2017

KEITH FOO BAKAL BERGELAR AYAH



Tahniah kami ucapkan kepada pelakon Keith Foo yang bakal bergelar ayah apabila isterinya, Raymond Kim kini sedang hamil tiga bulan anak sulung mereka.

Bicara tentang kehamilan isterinya, akui Keith ia merupakan berita yang paling menggembirakan sejak berkahwin dua tahun lalu.

Sungguhpun begitu, terdapat perubahan ketara yang berlaku terhadap anak bongsu daripada empat beradik itu, antaranya dia kini menjadi penggemar coklat.

Klik untuk gambar besar




"Secara tiba-tiba, saya mengidam coklat setiap hari. Walhal sebelum ini, saya tidak sukakan makanan manis-manis. Isteri pula lebih sukakan makanan masam seperti jeruk.

"Nasib baik berat badan saya tidak bertambah kerana masih bersenam. Namun, ia satu perjalanan dan pengalaman paling indah buat kami berdua," tuturnya.

Jika Keith memutuskan untuk berehat seketika untuk bersama-sama menikmati proses perkembangan bayi dalam kandungan, begitu juga halnya dengan isterinya.

Bagi Kim, 32, sejak hamil sekitar tiga bulan yang lalu, rutin hariannya sebagai isteri dan juga pengurus kepada suaminya berubah sebanyak 360 darjah.



"Sejak hamil, keutamaan hidup kami berdua semakin berubah. Saya lebih matang berfikir dan tidak mengambil remeh dalam menguruskan hal ehwal keluarga.

"Tanggungjawab semakin besar kerana apa sahaja yang dilakukan, pasti memberi kesan kepada kesihatan dan kandungan," ujar Kim yang merancang dengann suaminya untuk memiliki dua orang cahaya mata.

Disoal mengenai keadaan kesihatan sepanjang berbadan dua, Kim berkata, tempoh trimester pertama kehamilan dirasakan begitu mencabar sehingga menjejaskan emosinya sepanjang hari.

"Ketidakstabilan hormon menyebabkan saya kerap muntah pada waktu pagi. Saya banyak menghabiskan masa berehat di rumah, sekarang saya tidak lagi diserang alahan. Kini, saya mampu bergerak aktif dan menjalani rutin harian seperti biasa," jelasnya.



Mengimbas kembali momen indah sewaktu menerima perkhabaran sedang berbadan dua, Kim menyifatkan kehamilannya sebagai kurniaan yang tidak ternilai daripada Tuhan.

"Kami telah berbincang tentang perkara ini sudah agak lama. Namun, saya dan Keith tidak mahu terburu-buru kerana percaya masanya akan tiba apabila benar-benar bersedia.

"Ironi, apabila disahkan hamil, ia berlaku dalam satu ruang masa yang sangat sempurna. Keith sedang berehat daripada dunia lakonan dan saya pula memang telah bersedia untuk bergelar ibu," katanya lagi.

Mengenai kerjaya lakonan pula, Keith berkata yang beliau tiada niat untuk meninggalkan dunia seni yang menjadi tempatnya mencari rezeki sejak tujuh tahun lalu, meskipun seronok dengan kehidupan sekarang.



Atas perhitungan tersebut, aktor berusia 34 tahun itu merancang membuat kemunculan semula sekitar Mac tahun ini.

"Saya sedang meneliti beberapa buah skrip, jika tiada aral mungkin akan kembali berlakon sekitar Mac atau April nanti. Namun, saya akan menitikberatkan soal durasi penggambaran kerana keadaan isteri yang sedang hamil.

"Mungkin saya akan memilih telefilem, filem dan drama rantaian yang penggambarannya tidak mengambil masa terlalu lama," ujarnya yang bakal mengusahakan perniagaan produk berasaskan kulit tidak lama lagi.

Bercerita tentang Tahun Baru Cina yang jatuh pada hari ini, ia menjadi sambutan tahun kedua mereka sebagai pasangan suami isteri. Sudah menjadi rutin, sambutan Tahun Baru Cina akan diraikan di kampung halaman Keith saban tahun.

"Sebenarnya perayaan utama keluarga kami adalah Krismas, tetapi Tahun Baru Cina masih disambut secara sederhana Paling utama, kami dapat berkumpul seisi keluarga pada malam sebelum Tahun Baru Cina untuk makan besar. Ia adalah acara yang wajib dihadiri seluruh keluarga," katanya.

Selain Tahun Baru Cina dan Krismas, Keith juga meraikan Aidilfitri bersama kakaknya yang merupakan seorang mualaf dan Deepavali bersama ibunya yang berketurunan India.


Sumber: Kosmo
Foto: Keith Foo IG & Raymond Kim IG


         ________________________





No comments: