27 January 2017

PELAKON VETERAN ANJANG AKI MASUK HOSPITAL, DIPANTAU DOKTOR



"Selama 12 tahun berkahwin dengannya, inilah kali pertama beliau masuk hospital. Saya harap keadaannya akan beransur pulih seperti sediakala," kata Datin Nazariah Abu Bakar, 62, mengenai suaminya, pelakon veteran Datuk Baharuddin Omar atau Anjang Aki, 81.

Difahamkan, keadaan Anjang Aki kini stabil dan beliau berada dalam pemantauan doktor di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju sejak dimasukkan Selasa lalu.

Kata Datin Nazariah, mereka masih menunggu keputusan lanjut daripada doktor untuk mengetahui punca sebenar penyakit suaminya itu.

Klik untuk gambar besar




"Mulanya suami jatuh sebaik bangun tidur pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu. Beliau mulanya batuk serta tiada selera makan dan ini mungkin buat dia hilang imbangan.

"Saya kemudian membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam pada Sabtu, namun pemeriksaan doktor termasuk sinar X mendapati kesihatannya okay dan dibenarkan pulang pada hari sama.

"Bagaimanapun, selera makannya masih tiada dan batuknya masih kuat. Memandangkan beliau bekas anggota tentera, kami membawanya ke sini untuk rawatan lanjut," katanya.



Tambah Nazariah, keadaan kesihatan suaminya sebelum ini baik di mana tiada masalah buah pinggang, kencing manis terkawal dan darah tinggi juga stabil.

"Doktor mencadangkan beliau masuk wad kerana bimbang jatuh lagi sekiranya berada di rumah dan boleh mendatangkan kecederaan.

"Sekurang-kurangnya di sini beliau boleh terima rawatan dan makan. Alhamdulillah nampaknya hari ini selera makannya kembali ada.



"Kami menanti keputusan hormon dan tiroid yang dibuat sebelum ini. Pada petang ini juga doktor akan buat ujian imbasan otak untuk melihat lebih lanjut keadaan beliau," jelasnya.

Nazariah terharu kerana Baharuddin yang juga bekas presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terus menerima kunjungan daripada pelbagai pihak antaranya pelakon

Rahim Jailani, Rena Tan, Salman Al Farisi serta Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kushairi Abdul Talib, Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk Dj Dave, Presiden Seniman, Zed Zaidi dan ramai lagi yang memberikan sokongan moral buat suaminya.


Sumber: Harian Metro
Foto: FINAS Facebook



         ________________________





No comments: