14 February 2017

DIKECAM BERPAKAIAN CELORENG ASKAR - HAZAMA MOHON MAAF, TIADA NIAT



Baru-baru ini, penyanyi Hazama telah menerima kecaman dan mencetuskan kontroversi di media sosial, gara-gara dirinya itu mengenakan pakaian dengan corak celoreng seperti askar ketika tampil sebagai mentor di konsert pengenalan Mentor Milenia 2017 pada Ahad lalu (12 Januari 2017).

Bagaimanapun, Hazama telah tampil memohon maaf jika ada pihak tertentu yang tersinggung dengan baju celoreng yang dipakainya.

Klik untuk gambar besar




Ini kerana kata Hazama, dia tiada niat langsung untuk memperlekehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dakwaan netizen itu.

"Sebenarnya, sebagai rakyat Malaysia saya juga berasa bangga mengenakan pakaian celoreng yang juga hasil sentuhan pereka fesyen Suffian Tugiman itu.

"Pada masa sama, saya juga ingin menggambarkan semangat kecintaan kepada negara kerana saya juga menyanyikan lagu Agi Idup Agi Ngelaban iaitu lagu tema filem Kanang Anak Langkau yang bakal ditayangkan nanti," jelasnya.



Dalam pada itu, Hazama berkata yang dia berjanji akan lebih sensitif jika ingin mengenakan pakaian celoreng yang dikaitkan dengan pakaian seragam tentera pada masa akan datang.

"Setakat ini, saya juga tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak berkaitan mengenai pakaian saya itu," katanya.

Kelmarin, laman Facebook iaitu Sokong Angkatan Tentera Malaysia mempersoalkan tindakan Hazama mengenakan baju berkenaan.



Status di laman Facebook itu juga menunjukkan mereka kesal kerana orang ramai dengan sewenang-wenangnya mengenakan pakaian seragam tentera.

Menurut beberapa sumber, tiada orang awam yang boleh mengenakan seragam celoreng dan mereka boleh didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, masih ada pengguna media sosial yang mempertahankan Hazama kerana baju dengan corak sedemikian begitu banyak dijual di pasaran.



Foto kredit: Zal Damya



Sumber: Harian Metro
Foto: Sokong Angkatan Tentera Malaysia FB



         ________________________





No comments: