17 February 2017

KANDUNGAN 2 BULAN KEGUGURAN - IKA NABELLA REDA



Belum ada rezeki!

Demikian halnya dengan pelakon Ika Nabella apabila mengetahui kandungannya yang sudah mencecah dua bulan itu gugur tiga hari lalu.

Bagaimanapun kata Ika, meskipun pahit menerima kenyataan itu, dirinya terpaksa akur dan reda dengan ketentuan takdir Tuhan kerana percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.

Klik untuk gambar besar




"Kandungan itu masih lagi pada peringkat awal. Mungkin dek kesibukan saya menjalani penggambaran, ia menyebabkan saya keguguran.

"Pada mulanya saya tidak tahu diri sedang mengandung, lalu saya menerima tawaran berlakon drama Seharum Mawar, di bawah produksi JS Picture.

"Selepas beberapa minggu, baru saya mendapat tahu saya sedang hamil. Saya pula tidak boleh membatalkan projek lakonan itu kerana penggambaran sudah pun dijalankan," katanya.



Tambah Ika atau nama penuhnya Ika Nabila Abdul Rahim, beliau kini sedang menjalani tempoh berpantang selama dua minggu sebelum kembali meneruskan penggambaran drama terbabit.

Sementara itu, Ika memberitahu, walaupun sedih dengan kejadian berkenaan, beliau tetap bersikap positif dan yakin rezekinya untuk menimang cahaya mata akan tiba juga nanti.

"Siapa yang tidak sedih apabila keguguran kandungan anak pertama? Bagaimanapun saya cuba bersikap positif. Orang pun kata selepas keguguran, biasanya potensi untuk mengandung lagi juga tinggi. Insya-Allah, mana tahu ada rezeki untuk hamil lagi selepas ini," ujarnya.

Untuk rekod, Ika yang merupakan bekas bintang program realiti Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) itu mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam, 30, pada 30 Julai tahun lalu.




Sumber: Berita Harian
Foto: Ika Nabella IG



         ________________________





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...