04 March 2017

MARIA FARIDA DITUNTUT GANTI RUGI 5 JUTA OLEH AHLI PERNIAGAAN



Semalam seorang ahli perniagaan telah mengemukakan tuntutan balas terhadap saman yang difailkan oleh pelakon Datin Maria Farida atas dakwaan selebriti itu membuat tuduhan palsu dan memfitnah beliau.

Hadijah Mohamed Mokhtar yang juga pengarah dan pemilik syarikat KR Beauty Care itu mendakwa, Maria atau nama sebenarnya, Maria Faridah Atienza, 48, telah membuat kenyataan media dalam rancangan Melodi terbitan TV3 pada 25 Oktober 2015.

Dalam program hiburan itu, Hadijah mendakwa Maria telah menyentuh isu-isu peribadi bertujuan memalukan dan menjatuhkan reputasi serta kredibiliti beliau.

Klik untuk gambar besar




Perkara tersebut dibangkitkan Hadijah yang lebih dikenali sebagai Karen Rahman dalam tuntutan balasnya terhadap saman fitnah oleh Maria, untuk beliau mendapatkan ganti rugi teladan, ganti rugi melampau RM5 juta, ganti rugi am daripada selebriti berkenaan.

Pernyataan tersebut menurut Hadijah membawa maksud untuk memberitahu masyarakat bahawa beliau seorang wanita dan isteri yang bermasalah, berakhlak buruk selain perkahwinannya sentiasa gagal dan bersalah untuk setiap kegagalan rumahtangga sebelum ini.

Hadijah seterusnya mendakwa, Maria mengadakan sidang media telah membuat kenyataan yang didakwa memfitnah yang dimuatnaik oleh Astro Awani pada 10 Mei tahun lalu bertajuk, Maria Farida teruskan saman dan portal Mstar Online bertarikh 6 Mei tahun lalu bertajuk, Tak tahan difitnah, Maria Farida bakal saman bekas isteri suaminya.



Turut menyiarkan artikel seumpamanya ialah akhbar Kosmo! bertajuk, Maria Farida saman janda suami dan Utusan Malaysia pula bertajuk, Diugut simbah asid.

Peguam Zaid Roslan yang mewakili Hadijah yang dinamakan sebagai pihak defendan memberitahu pemberita, Mahkamah Tinggi semalam menetapkan 13 April ini untuk mendengar permohonan Maria bagi mendapatkan perintah injunksi interim bagi melarang Hadijah daripada terus memfitnah beliau sama ada melalui media cetak, akhbar dan media sosial.

Dalam tuntutan balas itu, Hadijah dan anak sulungnya, seorang pramugari, Nur Shazleen Mohd. Yusoff sehubungan itu memohon supaya tuntutan saman Maria yang sudah bernikah dengan bekas suami beliau (Hadijah), Datuk Rahman Shakur pada 26 November tahun lalu terhadap mereka, ditolak dengan kos.

Hadijah selain itu menuntut supaya saman Maria dibatalkan atas alasan tuntutan itu tiada asas, suatu yang mengaibkan, remeh dan menyusahkan pihaknya selain menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada Disember tahun lalu, Maria selaku pihak plaintif dalam samannya antaranya mendakwa, Karen Rahman te­lah memfitnahnya sehubungan itu menuntut perintah injunksi melarang Hadijah yang dinamakan sebagai pihak defendan daripada membuat kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadapnya.

Selain perintah injunksi, Maria turut menuntut pernyataan maaf tanpa syarat, melarang sebarang bentuk komunikasi dengannya dan melarang Hadijah menggunakan gambar-gambarnya untuk mempromosi produk KR Beauty Care selain ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.


Sumber: Utusan



         ________________________





No comments: