Walaupun imbasan dilakukan sudah menampakkan jantina cahaya mata sulung mereka namun pelakon Saharul Ridzwan dan isteri, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir yang kini sedang hamil lima bulan itu memilih untuk tidak mengetahuinya.
Kata Saharul, dia dan isteri tidak kisah mengenai jantina anak asalkan bayi yang bakal dilahirkan Jun depan nanti sihat dan sempurna. Dalam masa sama, pasangan ini juga ingin ia menjadi kejutan.
"Sejujurnya saya dan isteri memang tidak kisah mengenai soal jantina anak kerana paling penting bayi yang bakal dilahirkan nanti sihat dan sempurna.
Klik untuk gambar besar
"Memang kami sengaja tidak mahu tahu kerana inginkan kejutan ketika dia lahirkan nanti walaupun doktor sudah dapat melihat jantinanya ketika imbasan dibuat," jelasnya.
Dalam pada itu, Saharul memberitahu keadaan isterinya berada dalam keadaan baik dan mengakui tidak sabar untuk menantikan kehadiran orang baharu dalam rumah tangga mereka.
"Alhamdulillah semuanya berada dalam keadaan baik dan seperti pasangan lain yang bakal menimang cahaya mata kami pun tidak sabar menantikan kelahiran bayi sulung kami," katanya.
Berkongsi pengalaman mengerjakan Umrah bersama isteri pada 31 Januari lalu, Saharul berkata, walaupun pergerakan Qaabila terbatas kerana hamil namun dia dapat melakukan semua ibadah dengan sempurna.
Malah katanya, pemergian bersama isteri ke tanah suci memberi pengalaman baharu dan berharap dapat berkunjung lagi ke Mekah pada masa hadapan.
"Dahulu ketika saya pergi dengan keluarga dan kali ini bersama isteri dan bayi kami, jadi ia adalah pengalaman yang cukup istimewa.
"Alhamdulillah semua urusan ibadah berjalan lancar walaupun pergerakan isteri terbatas sedikit. Insya-Allah jika ada peluang kami ingin mengerjakan Umrah lagi pada masa hadapan," tuturnya.
Sumber: mStar
Foto: Saharul Ridzwan IG & Deena Emir IG
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment