08 April 2017

6 GAMBAR - EDLIN AF2 SELAMAT NIKAH



Tahniah kami ucapkan buat bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-2 (AF2), Edlin Abdul Rahim, 33, yang telah selamat disatukan dengan pasangannya, Nik Shahril Nik Ibrahim, 44, sebagai suami isteri, setelah dua tahun menjalinkan hubungan.

Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan sendiri bapa Edlin, Datuk Abdul Rahim Osman, dengan dua kali lafaz sambil disaksikan Penolong Daftar Nikah, Masjid As-Syakirin, KLCC, Ustaz Mohd Radhi Abdul Ghani, di sebuah hotel terkemuka, jam 9.10 malam semalam.

Klik untuk gambar besar




Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain lima dulang hantaran berbalas tujuh. Seperti yang dipersetujui sejak awal, pasangan terbabit sepakat untuk tidak mendedahkan jumlah wang hantaran.

"Boleh dikatakan, kami sudah lama saling mengenali, tetapi perhubungan hanya bertukar serius kira-kira dua tahun lalu. Kami juga tidak bertunang, sebaliknya hanya majlis merisik dilangsungkan pada Mei tahun lalu.

"Saya sendiri tidak berani hendak bertunang lama-lama kerana pelbagai dugaan boleh berlaku. Majlis merisik itu pun sebenarnya sudah seperti acara bertunang kerana keluarga pihak lelaki turut membawa cincin tanda.



"Alhamdulillah, akhirnya jodoh kuat menyatukan kami. Semoga fasa baharu ini akan kami lalui sebaik mungkin," katanya yang anggun menggayakan rekaan Furzana Mokhtaza pada majlis akad nikah itu.

Dalam pada itu, Edlin turut berkata, beliau dan suami memilih untuk bercinta selepas berkahwin.

"Boleh dikatakan, sepanjang perkenalan, hubungan kami bersifat tradisional. Kami tidak pernah bergayut di telefon mahupun keluar ke sana-sini bersama. Bahkan, kami memang jarang berjumpa.



"Mungkin kami hanya akan 'bercinta' selepas berkahwin nanti. Hingga kini, saya rasakan cara kami itu nampak lebih 'sweet' dan istimewa," katanya yang mengaku belum merancang percutian bulan madu.

Selepas tidak lagi bergiat cergas dalam dunia seni, Edlin memilih untuk memberikan tumpuan kepada pekerjaan di sebuah syarikat teknologi maklumat milik bapanya. Nik Shahril pula bekerja sebagai ketua logistik sebuah syarikat terkenal.

Di hotel sama hari ini, pasangan itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi. Manakala bagi majlis bertandang pula akan diadakan pada 15 April ini di ibu kota.






Sumber & foto: Berita Harian



         ________________________





No comments: