13 April 2017

ANAK JATUH TANGGA, TERIMA ENAM JAHITAN - SHAHZ JASZLE RASA RALAT



Anak sulung kepada pelakon Shahz Jaszle, Alana Jasmeen Jaszle, 2, telah menerima enam jahitan di dahinya akibat jatuh tangga di kediaman mereka, semalam.

Shah atau nama penuhnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 29, berkata insiden itu berlaku ketika beliau berada di luar rumah manakala isterinya, Hanis Husna, di tingkat atas.

"Berderau darah saya melihat luka anak yang agak dalam. Kami terus membawanya ke hospital. Selepas membuat imbasan di kepala, mujurlah doktor kata lukanya tidak serius," katanya.

Klik untuk gambar besar




Semalam, Shah berkongsi rakaman anaknya, yang sedang menangis kesakitan akibat terjatuh tangga sehingga menyebabkan dahi kanak-kanak itu terkoyak, di akaun Instagram beliau.

Dalam pada itu, Shah berkata, beliau berasa ralat dengan insiden itu kerana tidak memasang penghadang pada tangga rumah kerana sibuk dengan aktiviti lakonannya.

"Ia satu pengajaran yang besar. Sepatutnya saya perlu memasang penghadang tangga sejak awal, tetapi kerana sibuk, saya tak sempat berbuat demikian. Apatah lagi kami baru saja berpindah ke rumah jenis teres.



"Saya dan isteri perlu peka dengan kejadian yang mungkin boleh berlaku dan kami pula terlepas pandang," ujarnya.

Selain Alana, Shah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu lelaki bernama Ayden Jasreen Jaszle, yang kini berusia empat bulan.

Kasihan sungguh dengan Alana, semoga luka di dahi Alana itu cepat sembuh.


Sumber: Berita Harian



         ________________________





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...