30 April 2017

KERETA HONDA CIVIC HILANG - SHEEDA JADI BUNTU



"Selain saya, ada orang lain yang turut mempunyai kunci pendua kereta itu. Pada mulanya, saya cuba bersikap positif dan menaruh harapan kereta itu akan dipulangkan.

"Tetapi sehingga hari ini, penantian itu hampa dan saya ambil keputusan untuk membuat laporan polis," kata penyanyi dangdut era 1990-an, Sheeda yang mengakui buntu apabila kereta Honda Civic kesayangannya hilang sejak malam Rabu lalu.

Sheeda atau nama sebenarnya Rashidah Hamid, berkata dia hanya menyedari kenderaan yang diletakkan di parkir kondominium penginapannya di Setapak, hilang pada pagi Khamis namun masih positif dan menganggap ia mungkin dipinjam ahli keluarganya.

Klik untuk gambar besar




Penyanyi yang popular dengan lagu 'Angkat Kaki' itu berkata, kereta terbabit mempunyai nilai sentimental buat dirinya dan keluarga kerana ia menjadi kenderaan utama mereka dalam menjalankan urusan harian.

"Saya seperti hilang arah kerana ia satu-satunya kenderaan yang digunakan untuk urusan harian termasuk menjayakan undangan persembahan.

"Saya jadi buntu apabila pelbagai maklumat diterima, malah ada yang mendakwa ternampak kelibat kereta itu.

"Saya hanya berharap kereta itu akan ditemui secepat mungkin kerana ia menyimpan banyak kenangan kepada kami sekeluarga,"tuturnya.



Sheeda bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan kehilangan kereta itu mempunyai kaitan dengan motif peribadi tetapi enggan mengulas lanjut.

"Saya ingin terlebih dulu mendapatkan pandangan pihak berkuasa dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk menyelesaikannya.

"Saya akui runsing kerana kereta itu diletakkan di kawasan rumah, tetapi tidak dapat dijejaki apabila pengurusan memaklumkan, kamera litar yang dipasang di ruang parkir tidak berfungsi sejak seminggu lalu," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian




         ________________________





No comments: