05 April 2017

MAT SENTOL TERIMA GELARAN 'BAPA TEKNIK KESAN KHAS'



Seniman veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya baru-baru ini telah menerima Anugerah Bintang Lagenda daripada Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), hasil sumbangannya dalam industri kreatif.

Selain itu, seniman berusia 84 tahun ini turut dianugerahkan sijil Ahli Kehormat CCIG.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak selepas berkongsi pengalamannya dalam dunia perfileman menerusi Program Kajian Insan 'Khazanah Seni Negara'.

Klik untuk gambar besar




Pada masa sama, Mat Sentol turut diiktiraf sebagai Bapa Teknik Kesan Khas kerana berpengalaman luas dalam penghasilan teknik kesan khas menerusi pelbagai filem arahannya seperti Mat Bond, Mat Tiga Suku dan Mat Magic.

"Pengiktirafan ini adalah sesuatu yang bagus. Bagi saya, jangan sampai orang itu dah mati atau semput baru nak bagi," katanya.

Bahkan, Mat Sentol juga bersedia untuk berkongsi kebolehannya itu dengan pembuat filem hari ini.



"Sebenarnya, tak ramai yang tahu pasal ini. Saya tak kisah untuk berkongsi ilmu dengan mereka yang berminat," jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi CCIG, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata Mat Sentol layak menerima gelaran Bapa Kesan Khas berlandaskan kajian yang dijalankan ke atas filem lakonan dan arahannya, sejak tahun 1950-an hingga 1970-an.

"Kita kagum dengan kreativiti dan kebolehan Mat Sentol dalam menghasilkan kesan khas menerusi filemnya seperti Mat Bond, Mat Tiga Suku dan Mat Raja Kapor. Ketika itu, kebolehannya boleh dianggap melampaui masa bahkan ia dihasilkan secara manual," ujarnya.

Tambahnya, selain kebolehan menghasilkan kesan khas, Mat Sentol juga berbakat dalam bidang animasi dan penulisan skrip drama serta filem.


Sumber: Media Hiburan
Foto: Astro Awani, BERNAMA & Media Hiburan



         ________________________





No comments: