Pengacara popular Singapura, Najip Ali yang tampil memohon maaf semalam itu telah ditamatkan peranannya sebagai juri tetap dalam Maharaja Lawak Mega 2017 di atas keceluparannya.
Difahamkan, tempat Najip itu akan digantikan dengan selebriti lain dalam rancangan yang akan disiarkan menerusi saluran Astro Warna pada Jumaat ini pukul 10 malam.
Namun siapakah penggantinya itu masih lagi menjadi rahsia dan hanya dapat diketahui apabila rancangan itu disiarkan nanti.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad ketika dihubungi, enggan mengulas mengenai perkara itu.
Pihak pengurusan Najip di Singapura yang dihubungi juga mengambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang komen sebaliknya meminta perkara berkenaan ditanya sendiri kepada Najip.
Najip Ali semalam tampil memohon maaf atas isu viral dimana beliau dikatakan mempersenda Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam rancangan OK CHOPE! yang diterbitkan oleh Mediacorp 5 milik Temasek Holdings.
Akui Najip, tindakan beliau yang menjadikan PM sebagai bahan lawak secara terbuka adalah satu kesalahan dan tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.
"Saya sedar betapa saya tidak sensitif dan (tidak) berhati perut. Saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya merayu agar beliau, penonton dan rakan-rakan memaafkan saya," kata pengacara popular Singapura dan juri tetap MLM 2017, Najip Ali.
Sementara itu, Ketua Pegawai Khidmat Pelanggan Mediacorp, Debra Soon berkata, pihaknya turut mengakui kesilapan berkenaan.
"Oleh itu kami telah menarik balik siaran ulangan episod berkenaan berkuat kuasa serta-merta. Kami memohon maaf berikutan kesilapan ini," ujarnya.
Terdahulu, peserta rancangan berkenaan diminta melengkapkan ayat: "Najib slams _____ for threatening Malaysia’s progress". Para peserta program itu termasuk Najip Ali, memberikan pelbagai jawapan yang dilihat menghina dan mempersendakan perdana menteri.
Sumber: mStar
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment