20 April 2017

TAKUT SAKIT - AZNIL LEBIH BERHATI-HATI, SENTIASA LAKUKAN PEMERIKSAAN



Meskipun berusia 55 tahun, Datuk Aznil Nawawi atau terkenal dengan panggilan Pak Nil berjaya membuktikan bahawa usia hanyalah sekadar angka apabila sehingga kini masih aktif dalam pengacaraan dan semakin melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa.

Namun di sebalik kesibukan kerjayanya, ternyata Aznil perlu lebih berhati-hati terutama melibatkan kesihatan.

"Saya memang takut sakit, sebab itu saya mengambil langkah awal untuk sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan.

Klik untuk gambar besar




"Pada usia saya kini, ramai sebenarnya rakan-rakan yang mula tidak sihat dan disebabkan itu saya sentiasa menjaga makan untuk memastikan tubuh dalam keadaan yang baik," jelasnya.

Meluaskan pengaruh daripada bidang seni ke perniagaan menerusi #bazaarpaknil, jelasnya, dia tidak pernah berasa penat. Ini kerana bagi Aznil, erti penat dalam kehidupannya tidak pernah wujud biarpun sibuk kerana beliau melakukan perkara yang dicintainya.

"Kalau kita suka dengan perkara yang dilakukan, memang tidak penat. Malah kita akan sentiasa teruja walaupun dengan jadual yang padat.



"Cuma kalau kita sakit, itu yang akan menghalang keterujaan seseorang itu bekerja dan itu yang saya sangat takut," ujarnya.

Sementara itu mengenai dunia perniagaan, Aznil kini dengan kerjasama Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuka #bazaarpaknil yang selama ini hanya dikenali di laman maya Instagram sahaja.

#bazaarpaknil itu bermula di Instagram apabila beliau kasihan melihat peniaga yang menggunakan ruang laman sosialnya itu untuk mempromosikan produk mereka.



"Saya tidak suka ruangan komen Instagram saya digunakan untuk mempromosikan produk. Jadi saya tampilkan penggunaan #bazaarpaknil untuk mereka gunakan.

"Sehingga kini selepas tiga tahun, sudah 13 juta status menggunakan #bazaarpaknil untuk menjual produk mereka di Instagram," katanya.

Tertubuhnya #bazaarpaknil secara fizikal juga menurutnya adalah secara kebetulan apabila dia berjumpa dengan PKNS.

"Pada awalnya saya ke PKNS untuk melakukan aduan mengenai masalah kedai saya di Wisma Yakin dan ketika itu, mereka beri saya idea untuk mewujudkan #bazaarpaknil.

"Idea itu kemudian saya bincangkan dengan pasukan saya dan akhirnya kami merasakan sudah tiba masanya untuk #bazaarpaknil beroperasi secara fizikal pula," tuturnya.

#bazaarpaknil kini beroperasi di Tempat Orang Lokal (TOL), Kompleks PKNS, Shah Alam yang menempatkan 35 peniaga. Antara kedai yang turut berniaga ialah Zapatos by Zain Saidin dan Hatta Dolmat.


www.myartis.com / Sumber: Utusan




         ________________________





No comments: