14 May 2017

BERHENTI BERLAKON - NORA DANISH AKUR PERMINTAAN SUAMI



Pelakon dan usahawan, Nora Danish, 36, akur dengan permintaan suaminya, Nedim Nazri yang mahu dia berhenti daripada bidang lakonan.

Nora berkata yang ia bersedia untuk meninggalkan kerjaya lakonan demi memberi keutamaan kepada keluarganya.

Bagaimanapun, pelakon yang dikenali dengan sitkom 'Puteri' ini berkata, tindakan yang akan diambil itu bukanlah secara drastik, sebaliknya, secara perlahan-lahan.





"Kalau itu permintaan dia, saya akur dan cuba mematuhinya demi keluarga. Namun, saya tidak akan terus berhenti secara mendadak, sebaliknya perlahan-lahan.

"Selepas berkahwin saya perlu meletakkan suami dan keluarga sebagai keutamaan, buat masa ini saya mungkin akan lebih memilih tawaran yang datang," jelasnya ketika ditemui media pada majlis pertunjukan fesyen Owl By ND di Gaya Koleksi Raya 2017.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga bersama pada 30 Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup di Glass House.

Klik untuk gambar besar


Dalam pada itu, mengulas tentang perjalanan perkahwinan tersebut, Nora berkata, kehidupannya kini lebih bahagia dan sempurna.

"Saya bersyukur dipertemukan dengan lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab. Dia juga seorang yang pandai masak. Buat masa ini kami belum berkesempatan untuk berbulan madu," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang koleksi jenama pakaiannya, Nora melancarkan sebanyak 21 rekaan koleksi baju kurung sempena Syawal akan datang.

"Tahun lalu kami buat penggambaran di Iceland dan tahun ini kami memilih Amerika Syarikat sebagai lokasi fotografi. Selain, bekerja, kami juga ambil kesempatan itu untuk bercuti bersama keluarga," katanya.












www.myartis.com / Sumber: mStar




         ________________________





No comments: