Pada pagi Khamis lalu, penyanyi Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 35, telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court selepas mengalami demam panas dan sesak nafas.
Menurut Ezlynn, doktor mengesahkan bahawa dia terkena jangkitan demam viral yang turut membawa kepada penyakit lain seperti asma dan masalah pada buah pinggang.
"Semalam saya minta ahli keluarga datang ke rumah dan bawa saya ke hospital kerana demam panas dua hari, saya juga tidak boleh bangun dan sesak nafas.
"Selain itu, mata saya juga bengkak dan berair kerana alahan dan masalah buah pinggang. Alhamdulillah hari ini (Jumaat) keadaan saya agak baik dari semalam," ujarnya.
Kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Hi Hi Bye Bye' ini, dia masih lagi dalam pemerhatian doktor.
Dalam pada itu, Ezlynn tidak menolak demam viral itu dijangkiti selepas pulang bercuti di Lombok, Indonesia, baru-baru ini.
"Mata saya masih bengkak, doktor masih cari ubat sesuai kerana ubat yang diberi semalam tidak sesuai dengan badan saya.
Klik untuk gambar besar
"Setakat ini doktor belum beritahu bila boleh balik, saya harap dapat pulih cepat dan menjalani ibadah puasa seperti biasa," katanya.
Sementara itu, Ezlynn berkata yang beliau enggan dikaitkan dengan apa sahaja kisah peribadinya kerana dia memerlukan masa dan ruang untuk kembali pulih daripada kesakitan.
"Saya tidak mahu komen tentang itu, memandangkan dia (suami), ia akan buat saya lebih tertekan. Saya mahu fokus kepada kesihatan saya dahulu.
"Apa-apa boleh hubungi pengurus saya untuk yang lain. Saya harap awak dapat memahami keadaan saya," tuturnya ketika diminta mengulas mengenai situasi rumah tangganya dengan Adam Fahmi Shamsuddin yang dikatakan goyang ketika ini.
Ezlynn dan Adam mendirikan rumah tangga mereka pada 20 November 2011 dan sehingga kini belum dikurniakan cahaya mata.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment