21 June 2017

ALAMI KEGUGURAN SEBELUM MENJELANG AIDILFITRI - RAJA FARAH REDHA



Tiada rezeki!

Demikian halnya yang terjadi kepada pelakon dan pengacara, Raja Farah Raja Aziz apabila kandungan beliau berusia dua bulan mengalami keguguran hanya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut kedatangan 1 Syawal.

Menurut Ibu kepada seorang cahaya mata itu, kejadian berkenaan berlaku selepas waktu berbuka malam semalam, ketika dirinya sedang berniaga di sebuah karnival di Kuala Selangor.





"Emosi saya memang tidak stabil ketika berdepan ujian berkenaan. Kini saya berusaha mendapatkan semula semangat yang hilang. Maklum saja, inilah pengalaman pertama saya berdepan kesedihan sedemikian.

"Jika diikutkan, sejak awal kehamilan lagi saya mengalami pendarahan tanpa henti. Doktor turut memaklumkan, saya mungkin berdepan keguguran menerusi kehamilan kedua ini.

"Boleh dikatakan, saya juga seperti sudah bersedia sebenarnya. Cuma, tidak sangka pula saya mengalaminya ketika kita semua hendak menyambut Hari Raya.

Klik untuk gambar besar


"Malam tadi, sejurus mendapat tahu keguguran, saya terpaksa menutup gerai jualan lebih awal. Selepas menghubungi doktor, beliau menyarankan saya ke hospital di Petaling Jaya untuk mendapatkan rawatan.

"Mujurlah ketika kejadian, saya ditemani ibu bapa dan anak sulung (Imran)," katanya yang menjual pelbagai aneka biskut raya dan macaroon pada karnival berkenaan.

Ketika ini, isteri kepada ahli perniagaan, Iskandar Ismail, itu juga tidak terlalu memikirkan soal sambutan Aidilfitri.



"Walaupun perasaan saya masih tidak tenteram ketika ini, saya terima suratan Ilahi dengan lapang dada. Tahun ini pun kami akan beraya di kampung ibu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

"Memang persiapan raya tidak dibuat dengan beriya-iya. Saya juga perlu berpantang dan pada masa sama harus memenuhi komitmen berniaga di Shah Alam pula," katanya yang mengaku keadaannya kini bertambah baik.

Untuk rekod, Raja Farah dan Iskandar bernikah pada 6 September 2015. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikuniakan seorang anak lelaki bernama Imran Iskandar.

Sebelum dengan Iskandar, Raja Farah pernah berkahwin dengan Megat Bashirun Qhuyum Zakaria pada 2010, namun jodoh mereka berakhir pada 25 Mei lalu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian




         ________________________





No comments: