Tanggal 2 Jun lalu, merupakan ulangtahun perkahwinan ke-4 bagi penyanyi dan pelakon Izzue Islam dan isterinya seorang pengurus, Awin Nurin.
Empat tahun mendirikan rumah tangga, Izzue dalam satu status ucapan ulangtahun perkahwinannya ke-4 itu berharap dapat menyambut ulangtahun ke-5 perkahwinan secara bertiga.
Status yang dimuatnaik Izzue atau nama sebenarnya Muhammadd Izzul Islam Mazlan, 27, itu mendapat perhatian dan menyentuh hati peminat yang mendoakan pasangan tersebut dikurniakan zuriat secepat mungkin.
Ada dikalangan peminat yang turut mengesyorkan agar pasangan tersebut membuat rawatan dan bertemu pakar sebagai salah satu usaha seperti yang dilakukan pasangan Fizo Omar dan Mawar.
"Ya, siapa yang tidak mahu rezeki cahaya mata tapi saya percaya dengan perancangan Allah. Kami memang ada merancang untuk berjumpa pakar tapi belum ada masa kerana sibuk dengan jadual seni.
"Insya-Allah, suatu hari nanti. Alhamdulillah, setakat ini saya dan isteri tidak berasa tertekan dengan persoalan mengenai anak.
Klik untuk gambar besar
"Kami anggap mereka yang bertanya adalah mendoakan tentang kami," ujarnya yang berkahwin dengan Awin atau nama sebenarnya Nurinafilah Waharudin, 35, pada 2 Jun 2013.
Sementara itu, Izzue berkata, dia menjalani kehidupan dalam rumah tangga selama empat tahun ini dengan bahagia.
Biarpun mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia muda dan populariti yang sedang meningkat, Izzue yakin ia bukan satu kesilapan.
"Saya bahagia menjalani kehidupan sebagai suami-isteri. Empat tahun berlalu bagaikan baharu sahaja kami disatukan.
"Keputusan saya untuk berkahwin awal juga tidak langsung menjejaskan kerjaya seni saya, malah diberi rezeki yang lebih banyak," katanya.
Sementara itu, ditanya tentang rahsia kebahagiaan yang diamalkan, kata Izzue, saling faham memahami adalah kunci rumah tangganya kekal bahagia.
"Sedangkan lidah kagi tergigit, inikan pula suami isteri. Gaduh-gaduh manja itu biasa sebab lepas gaduh kita pujuk memujuk.
"Bagi kami saling faham dan percaya antara satu sama lain adalah perkara utama dalam rumah tangga," tuturnya.
Mengenai perkembangan terbaharu Izzue baharu sahaja muncul dengan single solo kedua ciptaannya sendiri berjudul 'Sahabat'. Lagu berkenaan juga menjadi lagu tema 'Megat Extent' di Astro Warna.
Selain itu, drama 'Ops Cinta Din Sardin' dan 'Pengemis Itu Saudaraku' yang bakal ditayangkan selepas raya nanti.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment