Pelakon dan penyanyi Ika Nabella, 28, menerusi laman Instagramnya semalam telah berkongsi 'mesej panas' seorang wanita yang cuba menyerangnya dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
Menurut Ika, ia berpunca apabila dia dituduh melanggar seorang wanita berusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) Isnin lalu yang tiba-tiba naik hantu dan hilang pertimbangan apabila memaki hamunnya di khalayak.
"Kami dari Surabaya menaiki penerbangan yang sama. Bila sampai di KLIA 2 kira-kira pukul 2.30 pagi, makcik itu dan seorang lagi rakannya menghalang pengguna eskalator yang ingin berjalan cepat.
"Jadi saya minta izin agar mereka beri laluan kepada kami sekeluarga, namun dia tidak berganjak, jadi saya terpaksa lalu di tengah-tengah mereka yang berdiri untuk meneruskan perjalanan.
"Namun, dia tiba-tiba naik marah kerana katanya saya telah melanggar dia. Dia suruh saya minta maaf kepadanya selain mengeluarklan perkataan-perkataan kesat dan nada tinggi," jelasnya ketika diminta mengulas tindakannya memuatnaik paparan tersebut di IGnya.
Tidak mahu perkara tersebut bertambah kecoh, Ika berkata, dia meneruskan sahaja perjalanan sehingga kedua-dua mereka terserempak kali kedua di kaunter pemeriksaan Imigresen.
Wanita berkenaan meluru laju ke arahnya sambil menjerit perkataan tidak sepatutnya selain menunjukkan isyarat lucah jari hantu atau jari tengah.
Klik untuk gambar besar
"Cemas juga bila dia tiba-tiba datang ke arah saya dan menjerit-jerit seperti orang hilang pertimbangan. Mujurlah suami dan anaknya dapat menghalang dan minta dia bersabar.
"Suami makcik itu juga sempat meminta maaf kepada suami saya atas tindakan memalukan isterinya itu," ujarnya.
Tidak selesai di situ, isteri kepada Muhammad Zaid Aznam ini memberitahu bahawa wanita tersebut mencari laman sosial Instagramnya bagi meluahkan rasa marah dengan kata-kata kesat.
Katanya, dia juga mengugut untuk menyebarkan perkara itu kepada umum dengan tujuan untuk memalukan.
"Rupa-rupanya dia cari akaun Instagram saya untuk melepaskan kemarahannya yang tidak habis itu. Dia menulis mesej peribadi kepada saya dengan kata-kata provokasi.
"Dia juga mahu menyebarkan perkara itu kepada umum, namun sebelum dia sebarkan biar saya sebarkan dahulu kerana saya yakin dia yang mahu popular," katanya.
Dalam pada itu, kata Ika, jika wanita berkenaan benar-benar mahu kebenaran, dia bersedia untuk menonton kembali kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA 2 sama ada dia bersalah atau tidak.
"Kalau dia betul-betul rasa saya bersalah dan mahu memalukan saya, dia boleh tengok balik rakaman CCTV di lapangan terbang itu. Bukanlah dengan cara memalukan orang seperti itu," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment