04 July 2017

DEMAM PANAS - MUS MAY DIPINDAHKAN KE ICU



Pagi semalam, vokalis kumpulan May, Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 49, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas mengalami demam panas berlarutan sejak Jumaat lalu hingga menjadi sawan.

Isterinya, Suraya Bahari berkata, pada mulanya Mus ditempatkan di Zon Kritikal sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 10 malam semalam.

"Abang Mus mengalami demam panas sejak tiga hari lalu dan sudah mendapatkan rawatan di klinik biasa.





"Mungkin ubat yang diberikan kurang serasi membuatkan keadaannya semakin lemah. Dia juga seperti diserang sawan membuatkan mulutnya berbuih dan saya mengambil keputusan menghubungi ambulans," katanya.

Menurut Suraya, suaminya itu seperti berada dalam keadaan tidak tenang dan meronta-ronta ketika di HKL membuatkan doktor mengambil keputusan meletakkannya dalam keadaan koma bagi membolehkan dia berehat dan keadaannya stabil.

"Pada mulanya doktor mengesyaki dia menghidap denggi tapi apabila diperiksa tiada pula. Cuma platlet darahnya agak rendah.

Klik untuk gambar besar


"Doktor memberitahu terdapat kuman dalam darahnya dan ia mungkin berpunca daripada pengambilan ubat yang salah diberikan sebelum itu

"Kira-kira jam 10.45 malam tadi, dia dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU). Segala keputusan penuh mengenai punca penyakitnya dijangka diketahui esok (Selasa)," kata Suraya yang mengharap doa semua pihak terhadap Mus.

Suraya berkata, doktor yang melakukan ujian imbasan otak terhadap Mus selepas itu turut mengesahkan keadaannya normal.



Beliau bagaimanapun mampu menarik nafas lega kerana tiada darah beku pada bahagian kepala suaminya.

"Doktor menjangka suami akan ditahan selama dua minggu sehingga keadaannya benar-benar pulih sebelum dibenarkan keluar.

"Sepatutnya dia akan membuat persembahan untuk Rumah Terbuka Risda pagi ini tapi apakan daya keadaan jadi begini. Apapun kita sama-sama doakannya supaya cepat sembuh," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Berita Harian




         ________________________





No comments: