Sebelum ini, suami kepada Ezlynn, Adam Fahmy Shamsuddin, 38, enggan melepaskannya selepas permohonan perceraian itu dibuat oleh penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Hi Hi Bye Bye' tanpa menuntut sebarang hak.
Terkini, suami Ezlynn berubah fikiran apabila beliau menyatakan persetujuan untuk bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah baru-baru ini.
Perkara tersebut disahkan oleh peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili Adam Fahmy selaku pihak defendan ketika sebutan kes tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohamed Hizwan Mohamed Nor.

Bagaimanapun menurut Ahmad Nazib, pihaknya diarah oleh Adam Fahmy untuk mencadangkan beberapa perjanjian penyelesaian bagi perceraian secara baik bersama Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 36, selaku plaintif.
"Saya baru dilantik oleh anak guam pada minggu lalu dan pihak kami dalam proses draf cadangan perjanjian penyelesaian untuk diteliti dan dijawab oleh pihak plaintif," katanya yang turut memaklumkan anak guamnya tidak hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.
Peguam syarie, Izyan Hazwani Ahmad yang mewakili Ezlynn memaklumkan bahawa anak guamnya terkejut dengan tindakan defendan mahu mengemukakan cadangan perjanjian penyelesaian kes perceraian mereka.
Klik untuk gambar besar

"Pihak defendan sedang mencadangkan penyelesaian, kami bagaimanapun masih belum menerima draf cadangan tersebut," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Nazib ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, cadangan perjanjian yang akan dikemukakan itu antara lain melibatkan isu-isu berkaitan harta sepencarian, idah dan mutaah.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung cadangan perjanjian itu dengan lebih terperinci.
Ezlynn ketika menjawab pertanyaan pemberita memberitahu, dia amat terkejut dengan cadangan Adam Fahmy yang juga pengurus peribadinya.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan mendengar keputusan cadangan perjanjian bagi kedua-dua belah pihak.
Pada 30 Mei lalu, akhbar melaporkan kedua-dua belah pihak telah melantik ahli keluarga masing-masing sebagai Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mengatasi masalah tersebut.
Ezlynn yang pernah mengacarakan program realiti, Mentor sebelum ini memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Januari lalu.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011, namun sehingga sekarang mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.
www.myartis.com / Sumber: Utusan
________________________
Follow @myartisdotcom
No comments:
Post a Comment