30 July 2017

PRODUKSI NAFI ADA URUSAN - BELLA ASTILLAH ENGGAN BERPISAH


"Kalau tanya soal hati, memang saya begitu terluka. Namun, saya melahirkan zuriatnya. Saya enggan terlalu dibuai emosi kerana tak mahu anak ini hidup tidak berbapa jika terlalu menurutkan rasa amarah.

"Rumah tangga kami pun masih baru dibina. Saya harap ada jalan penyelesaian terbaik dalam hal ini.

"Selagi boleh dipertahankan, akan saya lakukan," kata isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Bella Astillah yang enggan berpisah demi anaknya, Mohamad Ayden Adrean yang dilahirkan pada 8 Julai lalu.





Wanita tabah ini juga tidak berhasrat untuk berpisah dengan suaminya walaupun terpaksa melalui detik getir ketika ini selain persepsi buruk orang ramai terhadap Aliff atas kejadian itu.

Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah, 23, berkata, tuduhan kononnya Aliff, 26, 'kaki pukul' juga tidak benar malah suaminya itu tidak pernah mengasarinya selama tempoh perkahwinan mereka sejak disatukan pada 9 September 2016 sehinggalah mempunyai anak.

"Saya tidak terfikir untuk berpisah dan masih sayangkannya malah Aliff tidak pernah memukul saya seperti yang hebat diperkatakan sejak semalam (28 Julai 2017).

"Sebaliknya apa yang berlaku pada hari kejadian hanyalah pergelutan dan dalam situasi itu secara tidak sengaja dia mencederakan saya," jelasnya yang memberitahu bahawa Aliff seorang bapa yang baik kepada anak mereka.

Klik untuk gambar besar


Dalam masa sama, Bella menyatakan tujuan dia membuat laporan polis bukanlah di atas niat memburukkan suaminya namun kerana rumahtangganya diganggu oleh orang ketiga yang cuba meruntuhkan kebahagiaan mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Bella berkata yang dia sudah dimaklumkan mengenai pembebasan suaminya selepas ditahan polis bagi membantu siasatan sejak Jumaat lalu. Namun dia masih belum dapat bertemu Aliff kerana berada di hospital.

Sementara itu, adik kepada Anzalna Nasir, Afifah Nasir sebelum ini berkata yang pertemuannya dengan Aliff di pusat karaoke adalah atas urusan kerja.

Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan sendiri oleh Kak Noi yang merupakan pengurus produksi drama 'Izinkan Aku Mencintaimu' yang dibintangi oleh Aliff dan Afifah.



Kata Kak Noi, mereka tidak tahu menahu urusan 'kerja' yang dimaksudkan oleh Afifah.

"Kami tidak tahu apa yang mereka lakukan di luar lokasi penggambaran. Buat apa saya nak bohong. Ini urusan peribadi mereka dan pihak produksi tidak masuk campur.

"Malah kami juga tidak ada sebarang urusan dengan mereka di pusat karaoke itu kerana kami masih sibuk menghabiskan babak lain," tuturnya.

Jadi apakah jawapan sebenarnya tujuan mereka berdua berjumpa jika pengurus produksi sendiri sudah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Apapun, semoga isu ini dapat diselesaikan secara baik hendaknya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian, Harian Metro & mStar




         ________________________



No comments: