11 July 2017

WAN SHARMILA JALANI PEMBEDAHAN BERHAMPIRAN TULANG BELAKANG



Sejak pelakon Wan Sharmila, 35, memuatnaik gambar sebelum memasuki bilik pembedahan di laman sosial beliau kelmarin, ramai yang tertanya-tanya.

Semua persoalan itu kini tejawab apabila Sharmila memberitahu yang beliau menjalani pembedahan itu pada bahagian berhampiran tulang belakangnya pada 8 Julai lalu di sebuah pusat perubatan swasta di ibu kota.

Menurut Sharmila, beliau menjalani pembedahan ringkas yang memakan masa kira-kira sejam itu atas nasihat doktor bagi mengelakkan kesakitannya daripada melarat, selain boleh mengundang penyakit lain dan kesan jangka panjang.





"Jika diikutkan, sudah lama juga saya berasakan kesan pada bahagian yang sakit itu. Bagaimanapun, biasalah, kita selalu ambil mudah dan membiarkannya saja.

"Ketika bercuti ke Korea Selatan selama seminggu, baru-baru ini, kesakitan yang dialami mula membuatkan saya jadi gementar.

"Pada mulanya saya ingatkan ia bukanlah sesuatu yang serius, tetapi selepas beberapa hari pulang ke sini, saya kena juga bertemu doktor. Jadi, atas nasihatnya, saya perlu menjalani pembedahan ini," jelasnya.

Kata pelakon cantik itu lagi, tiga tahun lalu beliau juga pernah menjalani pembedahan, namun enggan mendedahkan secara terperinci rawatan yang dilakukan ke atasnya itu.

Klik untuk gambar besar


"Saya jenis orang yang takut dengan doktor. Hendak ke hospital atau klinik pun jadi 'gabra'. Cuma, saya harus ingat, kita tidak boleh mengambil mudah perkara berkaitan dengan badan dan kesihatan diri.

"Senang cerita, kalau rasa tak sedap dalam hati atau badan, segeralah berjumpa doktor. Jangan tangguh-tangguh," pesan 'pelakon Mat Motor Otai' ini.

Ketika dihubungi, pelakon yang mula aktif di bidang seni sejak 2005 dari Johor ini mengaku dirinya sedang berehat selepas menjalani prosedur berkenaan.

"Saya juga sedang menunggu keputusan hasil pembedahan terbabit. Dalam hati, memang saya berasak cuak juga. Harapan saya, semuanya baik-baik saja.

"Saya memuat naik gambar di laman Instagram itu pun kerana mahu semua orang mendoakan yang elok-elok untuk saya. Insya-Allah," katanya.

Ujarnya lagi, tempoh beberapa hari akan datang ini harus digunakannya sebaik mungkin untuk berehat sebelum beliau kembali ke lokasi penggambaran sebuah drama baharu, minggu depan.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian




         ________________________





No comments: