17 September 2017

ISU 'MATI SYAHID' PELAJAR TAHFIZ - NAZ (JJCM) MOHON MAAF


"Niat saya untuk membuka mata pihak berwajib mengenai kepentingan keselamatan," demikian kata pengacara program 'Jalan-jalan Cari Makan' (JJCM), Nazrudin Habibur Rahman atau Naz, 39, selepas dirinya dihentam mengenai isu 'mati syahid'.





Luahan hati Naz sebelum ini di laman Twitter mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada pengguna laman tersebut.

Kata Naz, dia memohon maaf andai ada perkataan yang diluahkan di laman Twitter miliknya mengenai isu mati syahid menimbulkan perasaan kurang senang netizen.

Menurut Naz lagi, apa yang diluahkannya itu bukan untuk mempertikaikan kenyataan 'mati syahid' tersebut.

Sebaliknya, dia mahu pihak yang menguruskan pusat pendidikan mengutamakan keselamatan pelajar dan tidak terlalu mudah memberi alasan bagi menutup sesuatu kejadian.

Klik untuk gambar besar


"Ini bukan kali pertama berlaku, sudah banyak kes kebakaran asrama yang membabitkan kematian kanak-kanak.

"Saya bukan menafikan tentang hal mati syahid tetapi saya mempertikaikan tentang keselamatan yang sepatutnya dititikberatkan.

"Sampai bila kita mahu menerima alasan yang sama apabila ia membabitkan kematian," katanya.

Menerusi akaun Twitter @nazrudinrahman, dia ada menulis 'Mati syahid? What a bangsat cop out answer. Tell me something I don't know'.



Postingnya itu mendapat hampir 6,000 retweet dan ratusan komen daripada pengikut.

Ia memetik laporan sebuah portal berita tempatan yang melaporkan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah, Muhammad Zahid Mahmod menganggap 21 orang pelajar dan dua warden mereka mati syahid dalam kebakaran asrama di Kuala Lumpur pada 14 September lalu.

Dalam pada itu, Naz berharap kenyataannya itu mampu membuka mata ramai pihak terutama pihak berkuasa mengenai keselamatan pusat pendidikan.

"Tidak kiralah pusat pendidikan apa sekalipun, soal keselamatan harus menjadi keutamaan dan bayangkan jika berlaku kecemasan, mereka ini tidak dapat menyelamatkan diri.



"Dalam kejadian baru-baru ini, saya yakin pengetua tersebut akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku," ujarnya.

Sementara itu, Naz berkata apa yang dikongsi itu secara tidak langsung turut menyedarkan masyarakat mengenai isu keselamatan.

Malah Naz yang aktif dengan badan kebajikan sejak beberapa tahun yang lalu tidak berkecil hati dengan komen netizen yang menghentam kenyataannya itu.

"Mungkin mereka yang baca tweet tersebut tidak faham maksud saya kerana tidak membaca catatan yang berikutnya.

"Tidak apa lah, sekurang-kurangnya ada yang menyokong dan memahami apa mesej yang ingin saya sampaikan dalam tulisan tersebut," tuturnya.

Dalam kejadian 14 September lalu, seramai 23 orang maut selepas pusat tahfiz berkenaan terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.


www.myartis.com / Sumber: mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: