10 October 2017

INGIN HILANG RASA SUNYI - JALALUDDIN HASSAN BAKAL NIKAHI IBU TUNGGAL


"Saya dah bersedia untuk kahwin tapi saya mahu tunggu cukup tempoh setahun lepas kematian arwah isteri saya.

"Tapi kalau nasihat ayah saya, sekarang juga dia mahu saya kahwin," demikian kata pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan, 63, yang memutuskan untuk berkahwin lagi bagi menghilangkan rasa sunyi dalam hidupnya.





Kata Datuk Jalaluddin, beliau kini dalam proses mengenali hati budi seorang ibu tunggal berusia 44 tahun yang dikenali pada bulan Ramadan lalu.

Menurut Datuk Jalaluddin lagi, beliau yang akui sudah bersedia untuk menamatkan zaman dudanya itu sama sekali tidak menyangka wanita itu merupakan adik kepada kawan karibnya.

"Kami berkenalan menerusi Facebook dan kali pertama saya menegurnya adalah pada Ramadan lalu apabila mengucapkan selamat berpuasa kepadanya.

Klik untuk gambar besar


"Hanya pada Aidilfitri baru kami ada peluang bertemu, pada sebuah acara rumah terbuka. Tak sangka, dia adalah adik kepada kawan saya," ujarnya yang kehilangan isteri tercinta, Datin Hashimah Mad Ehsan hampir setahun yang lalu.

Ketika majlis sidang media Teater Bahara Emas, Datuk Jalaluddin juga sempat berkongsi gambar wanita itu selain memberitahu wanita yang berasal dari Serkam, Melaka itu bermula dengan huruf YR.

Dalam masa sama, Jalaluddin berkata, jiwa kental yang ada pada wanita empat anak itu membuatkan hatinya terpikat, sekali gus mahu menjadikannya sebagai teman hidup.

"Saya kagum dengan semangatnya membesarkan anak-anak, selain menjaga ibunya yang kurang sihat," tuturnya.



Sementara itu, bercerita mengenai keadaan kesihatannya, pelakon berpengalaman yang juga seorang pengacara itu memberitahu, beliau kini semakin pulih.

"Bagaimanapun, saya kena lakukan fisioterapi sebab kaki masih lemah dan saya juga perlu menjaga makan," jelas Datuk Jalaluddin.

Pada 2 Oktober lalu, Jalaluddin dilaporkan pengsan selepas menjadi tamu program bual bicara siaran TV AlHijrah, 'Assalamualaikum'.



Minggu lalu, Datuk Jalaluddin dimasukkan ke hospital akibat masalah 'vertigo' yang menyebabkan beliau mengalami masalah keseimbangan badan.

Walaupun dibenarkan keluar hospital untuk berehat pada Rabu lalu, beliau tetap memberi komitmen pada teater Bahara Emas terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bakal dipentaskan pada 19 hingga 22 Oktober ini.

Untuk makluman, isteri Datuk Jalaluddin meninggal dunia pada 5 November 2016 akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah kencing manis dan paru-paru berair di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Mereka mendirikan rumah tangga selama 40 tahun dan memiliki lapan orang anak dan 14 cucu.






www.myartis.com / Sumber: mStar, Berita Harian, Kosmo & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: