14 November 2017

HIDAP PENYAKIT TTP: MUS MAY MAHU TERUS NYANYI, ENGGAN LAYAN SAKIT


Sekitar bulan Julai lalu, vokalis kumpulan May, Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 49, terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami demam panas.





Mus kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang dan terpaksa dirawat dalam keadaan koma selama sembilan hari selepas doktor mengesahkan dia menghidap penyakit Thrombotic thrombocytopenic purpura (TTP).

TTP atau penyakit yang disebabkan kurangnya enzim yang terlibat dalam proses pembekuan darah itu membuatkan Mus terpaksa ditahan selama 35 hari di hospital.

"Alhamdulillah, keadaan saya semakin sihat dan stabil sekarang. Doktor mengesahkan saya menghidap penyakit TTP yang disebabkan kekurangan protein dalam sel darah putih.

"Bagi merawat penyakit berkenaan, doktor terpaksa meletakkan saya dalam keadaan koma. Saya menjalani proses rawatan plasma exchange dengan mengeluarkan sel darah putih dalam badan dan kemudian dimasukkan sel darah baharu sebanyak 400 beg," jelasnya.

Biarpun sudah tiga bulan tragedi tersebut berlalu, penyanyi yang popular dengan lagu 'Sendiri' itu kini mengalami masalah hilang ingatan dalam tempoh sementara.

Klik untuk gambar besar


"Ya betul, memang kesan daripada ubat dan penyakit berkenaan membuatkan saya sukar mengingati perkara yang berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun sebelum ini.

"Mengikut doktor, kesan ini akan berlarutan selama enam bulan. Buat masa ini saya baru sahaja tiga bulan sembuh daripada penyakit berkenaan," katanya.

Ditanya apakah perkara yang membuatkan dirinya sukar untuk ingat, Mus memberitahu bahawa dia tidak mengingati siapa yang datang menziarahnya.

Bukan itu sahaja, Mus turut juga tidak mengingati perkara berkaitan teknikal seperti wayar-wayar yang banyak di dalam studio rakaman, penggunaan komputer serta arah jalan.

Dalam pada itu, Mus berkata berat badannya susut secara mendadak bukan berpunca dari kesan penyakit tersebut.



"Berat badan saya susut kerana disarankan untuk menjaga pemakanan. Berat asal saya adalah 62 kilogram (kg), namun kini susut menjadi 56 kg.

"Doktor menasihatkan agar saya mengurangkan makanan pedas dan mengelakkan pengambilan sayur mentah seperti ulam kerana ia boleh mengakibatkan darah menjadi pekat," ujarnya.

Sementara itu, meskipun belum sihat sepenuhnya, kata Mus yang penyakit ini tidak menjadi penghalang untuk dirinya membataskan pergerakan aktiviti seninya.

"Tidak juga. Mujur saya masih mampu mengingati lirik lagu-lagu May. Faktor itu mungkin disebabkan kerana lirik dan melodi berkenaan sudah melekat dalam fikiran saya sejak sekian lama.

"Saya juga tidak bercadang untuk mengurangkan aktiviti seni, semuanya bergantung kepada keadaan. Sejak dahulu saya memang orang yang suka bekerja. Selagi keadaan kesihatan dan fizikal tiada masalah, saya akan terus bekerja seperti biasa.

"Selagi rasa stabil, saya akan terus menyanyi seperti biasa. Lebih baik aktif begini kerana saya tidak mahu melayankan sakit.

"Bimbang jika terlalu memikirkan keadaan diri yang kurang baik, nanti ia akan melarat. Jadi baik saya keluar bekerja," jelas Mus.

Mengenai perkembangan seninya, Mus telah mendendangkan lapan buah lagu untuk persembahan dalam Festival SoundValley yang berlangsung baru-baru ini.


www.myartis.com / Sumber: Kosmo


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: